BERKONGSI pengalaman berlakon di bawah arahan dua pengarah berbeza iaitu Nasir Jani dan Seth Larney bagi filem Tombiruo: Penunggu Rimba, Nabila Huda menjelaskan bahawa dirinya cukup beruntung kerana berpeluang untuk menimba pengalaman berharga sepanjang tempoh penggambaran.
“Bagi saya ini adalah team produksi yang paling sistematik. Jadualnya teratur dan pelakon tidak perlu bazir masa menunggu di set. Penggambaran juga bermula mengikut jadual dan pengarah tahu apa yang mereka lakukan,” katanya yang mengikuti sesi latihan dan kelas lakonan bersama guru lakonan, Fatimah Abu Bakar.
Tambah Nabila, watak Wan Suraya juga memberi satu pengalaman baru sepanjang penglibatannya sebagai pelakon.
“Karakter Wan Suraya ini tidak sukar tapi bagi saya ia berat sebab antara penggerak jalan cerita yang merungkai persoalan di awal filem.
“Untuk karakter wartawan penyiaran, saya banyak merujuk cara rakan media menemu ramah dan lihat cara mereka bekerja di TV.

“Bagi saya babak paling sukar adalah babak akhir di mana kami perlu berada dalam hujan dan penggambaran bermula dari pagi.
“Jadi disebabkan malas nak tunggu basah dek air dari pili bomba, saya sanggup turun ke sungai untuk basahkan diri di awal pagi. Memang menggigil juga tapi lagi puas,” imbaunya.
Bagi memberi lebih kepuasan, Nabila turut melakukan aksi di dalam filem ini di mana dia dicampak.
“Mereka tanya saya sama ada nak pakai stunt atau nak buat sendiri. Lagipun mereka dah pakaikan saya dengan padding dan asas keselamatan, jadi tidaklah sampai cedera,” jelasnya yang tidak menolak terlibat di dalam sekuel Tombiruo jika ada.
Selain Nabila, Tombiruo: Penunggu Rimba yang akan menemui penonton pada 12 Oktober depan membariskan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Datuk M Nasir, Faizal Hussien dan Farid Kamil.