Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Nafuzi sahut cabaran

    ALOR SETAR, 3 JAN – Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mohd Nafuzi Zain tekad menggalas tanggungjawab mengembalikan kegemilangan Sang Kenari walaupun perkara itu dilihat sebagai cabaran besar buatnya.

    Mohd Nafuzi berkata dia tidak gentar dengan cabaran itu dan menganggapnya sebagai laluan berliku yang harus dihadapi untuk menjadi seorang jurulatih pasukan bola sepak yang berjaya dan berkaliber. 

    “Bagi saya, sebagai seorang jurulatih kita perlukan cabaran. Kedah merupakan pasukan yang besar dan untuk mencipta sesuatu kejayaan, saya perlu lalui perjalanan berkenaan walaupun ia penuh berliku.

    “Untuk berdepan dengan cabaran itu, saya ada cara tersendiri, taktikal dan formasi yang akan digunakan mengikut kualiti pemain yang kami ada dalam pasukan dan dari situlah segala perancangan akan dilakukan,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Mohd Nafuzi berkata dia juga berterima kasih kepada pihak pengurusan KDA FC kerana memberi sokongan dan kepercayaan 100 peratus kepada dirinya terutama dari segi pemilihan barisan pemain.

    Menurutnya ramai pemain muda membarisi senarai pemain KDA FC bagi musim ini yang walaupun kurang berpengalaman namun mempunyai kualiti yang diperlukan.

    “Saya sebagai ketua jurulatih akan cuba sedaya upaya untuk memastikan persembahan terbaik dapat diberikan dan diterjemahkan dalam setiap perlawanan. Hebat atau tidak barisan pemain ini ia akan bergantung kepada keputusan pada perlawanan sebenar nanti jadi tunggu dan lihat,” katanya.

    Mengulas mengenai kehadiran Lee Tuck dalam pasukan, Mohd Nafuzi berkata dia yakin dengan pengalaman luas yang dimiliki pemain itu mampu membantu KDA FC menjadi pasukan yang lebih baik. – Bernama

    Mohd Nafuzi tersenyum ketika memberi penerangan kepada petugas media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) sebagai Ketua Jurulatih yang baharu KDA FC musim 2023 di House of Kenari, Alor Setar, 6 Disember lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...