Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nahas pesawat Azerbaijan Airlines ragut 38 nyawa

    ASTANA, 26 DIS – Azerbaijan hari ini telah mengisytiharkan hari berkabung kebangsaan susulan nahas pesawat penumpang syarikat penerbangan nasional di barat Kazakhstan pada Hari Krismas, yang mengorbankan 38 daripada 67 penumpang.

    Pesawat Embraer 190, yang dijadualkan berlepas dari Baku ke Grozny di selatan Rusia, menyimpang dari laluan asalnya sebelum terhempas berhampiran Aktau, Kazakhstan, kelmarin.

    Azerbaijan Airlines melaporkan seramai 67 orang berada di dalam pesawat itu, terdiri daripada 62 penumpang dan lima anak kapal.

    Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev, memaklumkan kepada agensi berita Interfax Rusia bahawa 38 maut dalam nahas itu, sementara kementerian kecemasan Kazakhstan melaporkan 29 mangsa, termasuk tiga kanak-kanak, dirawat di hospital.

    Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung kebangsaan dan membatalkan lawatan ke Rusia bagi sidang tidak rasmi Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS).

    Pejabat Presiden memaklumkan bahawa Aliyev telah mengarahkan siasatan segera bagi mengenal pasti punca nahas.

    “Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang dalam nahas ini dan mendoakan agar mangsa yang cedera segera sembuh,” kata Aliyev menerusi kenyataan di media sosial.

    Laman web Flight Radar menunjukkan pesawat itu menyimpang dari laluan asalnya, melintasi Laut Caspian dan berpusing sebelum terhempas berhampiran Aktau, hab minyak dan gas di pantai timur Kazakhstan.

    Agensi berita Azerbaijan, AZERTAC, melaporkan kotak hitam pesawat juga telah ditemui. – AFP

    Anggota penyelamat mencari mangsa selepas sebuah pesawat penumpang terhempas di bandar Aktau pada 25 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda