Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Naib pengerusi NLD meninggal dunia

    YANGON, 7 OKT – Rakan rapat kepada pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi telah meninggal dunia akibat leukemia hari ini, kata sumber parti kepada AFP, beberapa hari selepas dibebaskan daripada tahanan junta atas alasan kesihatan.

    Zaw Myint Maung, 72, yang menghabiskan kira-kira 20 tahun dalam penjara kerana menentang tentera Myanmar, adalah orang kepercayaan rapat Suu Kyi dan ketua Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD).

    Dia ditangkap berikutan rampasan kuasa terbaharu tentera pada 2021 dan dipenjarakan kerana rasuah.

    “Kami mendapat pengesahan kematiannya. Ia satu kerugian besar bagi kami kerana dia adalah salah seorang naib pengerusi NLD kami,” kata sumber kanan parti kepada AFP, tanpa mendedahkan nama semasa bercakap kepada media.

    “Walaupun kami bersedia terhadap kehilangannya suatu hari nanti, akan tetapi kami kesal kerana kehilangannya dalam situasi sukar. Kami perlu bergerak ke hadapan untuk demokrasi bersama pemimpin yang kami ada,” tambahnya.

    Zaw Myint Maung telah ditahan bersama-sama tokoh kanan NLD yang lain berikutan rampasan kuasa 2021 yang membatalkan percubaan selama 10 tahun dengan demokrasi dan mengembalikan negara Asia Tenggara itu kepada pemerintahan tentera. – AFP

    Gambar fail bertarikh 1 Mac 2016 menunjukkan Zaw Myint Maung (kanan) mengiringi Suu Kyi semasa ketibaannya di parlimen di Naypyidaw. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda