Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Nasha Aziz bakal tunai umrah bulan Disember

    Pelakon Malaysia, Nasha Aziz bakal mengerjakan ibadah umrah dan akan berada di Tanah Suci selama sebulan, penghujung tahun ini.

    Bakal berangkat seorang diri, Nasha menyifatkan termakbulnya hasrat yang sekian lama terpendam sebagai satu hikmah di sebalik pelbagai ujian dihadapi sebelum ini.

    “Ini adalah salah satu doa saya yang Allah dengar. Doa ini saya sudah panjatkan sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran drama rantaian tahun lalu.

    “Sepatutnya kos menunaikan umrah adalah baki bayaran lakonan drama yang masih belum dijelaskan. Malah, penerbit drama juga berjanji akan bantu urusan tempahan.

    “Namun, tunggu punya tunggu sampai setahun, tapi tak ada juga. Atas kuasa Allah, saya tetap diundang untuk menjadi tetamuNya.

    Nasha tidak pernah gunakan wang hasil kerjanya untuk bercuti keluar negeri. – Agensi

    “Walaupun kos pemergian saya ini bukan daripada baki bayaran yang masih belum dijelaskan, tapi Allah beri rezeki lain yang membolehkan saya menunaikan impian ini.

    “Insya-Allah, saya akan berangkat ke Tanah Suci pada 26 Disember ini selepas penggambaran telefilem yang dijayakan ketika ini selesai.

    “Saya akan berada di Tanah Suci selama sebulan dan sudah pun mengambil visa pelancong,” katanya kepada BH Online.

    Sepanjang bergiat aktif dalam bidang peragaan dan juga menjadi anak wayang, ini adalah kali pertama menggunakan wang daripada hasil titik peluhnya untuk bercuti ke luar negara.

    “Sepanjang menjadi model dan anak seni, saya tidak pernah membelanjakan pendapatan yang diperoleh untuk pergi bercuti ke luar negara. Sebaliknya, saya gunakannya untuk tunaikan tanggungjawab terhadap keluarga, diri sendiri dan apa sahaja yang sepatutnya.

    “Saya juga pernah berjanji dengan diri sendiri, jika saya dapat satu tawaran besar, percutian pertama saya untuk terapi diri, saya mahu ke Mekah.

    “Pada mulanya saya sangka impian ini tak kesampaian apabila hutang yang sudah setahun tertunggak tidak dijelaskan,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...