Salah satu makanan terkenal di Brunei yang menjadi pilihan orang kitani yang kekal ‘evergreen’ adalah nasi katok.
Nasi katok serupa seperti nasi bungkus yang dibungkus menggunakan kertas coklat atau dalam kontena biasanya merangkumi nasi putih dan ayam goreng seketul bersama sambal.
Ia juga dilabelkan sebagai makanan ringkas dan mengenyangkan yang popular disebabkan harganya yang murah hanya $1.
Namun ketika ini, terdapat sesetengah peniaga menaikkan harganya 50sen disebabkan harga barang naik semasa pandemik terutamanya ayam, namun masih ada juga peniaga yang mengekalkan harga $1 demi untuk beramal jariah.
Menurut cerita orang ramai, asal usul nasi katok ini sudah ada sejak tahun 1960an
apabila terdapat sebuah keluarga Cina berniaga nasi pusu 80sen secara kecil-kecilan di rumahnya di kawasan Mabohai.
Makanan yang dijual oleh peniaga itu sangat terkenal dalam kalangan masyarakat pada ketika itu kerana mereka menjualnya sehingga tengah malam.
Setiap pelanggan yang datang sendiri ke rumah penjual itu akan mengetuk pintu rumah untuk membelinya.
Mungkin ketika itu tidak ada loceng pintu, jadi dengan mengetuk pintu, tuan rumah akan mengetahui ada pelanggan yang datang untuk membeli nasi.
Jadi, munculah nama nasi tersebut dengan nama nasi ketuk, jika ditukar dengan sebutan bahasa Brunei vokal ‘e’ ditukar ke vokal ‘a’ jadilah ia nasi katok.
Ketika ini, nasi katok ia mudah didapati di mana-mana seperti gerai, rumah, kedai runcit yang biasa dihantar oleh penjual, di kiub-kiub makanan dan sebagainya, malah ada juga peniaga nasi katok yang beroperasi selama 24 jam.
Walaupun sudah ramai peniaga dan sebilangan restoran di negara ini menjual nasi katok, sudah semestinya masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.
Keunikan itu biasanya terletak pada ayam sama ada ayam bersalut tepung, ayam rempah kunyit dan yang menjadi pilihan ramai adalah sambalnya. Sambal yang pelbagai dan bermacam-macam jenis serta sedap dapat menarik ramai pembeli.
BAHAN-BAHAN
Pada mulanya lauk biasa yang terdapat dalam nasi katok adalah ayam goreng atau ayam bakar, sambal dan nasi namun pada masa kini terdapat penjual yang menambah variasi lauk-pauk lain seperti daging, kambing, kupang, pusu, telur dan sebagainya.
CARA PENYEDIAAN
Berkongsi secara ringkas mengenai bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan ramuan perapan ayam goreng adalah seperti serbuk lada hitam, serbuk kari, cili kisar, bawang kisar, halia, kunyit bersama bawang putih kisar, garam, gula perang atau madu.
Manakala untuk membuat sambal memerlukan bahan-bahan seperti cili besar merah atau hijau (jika hendak sambal hijau), cili padi (jika suka pedas), cuka, gula, garam, bawang putih, bawang besar dan sos tomato yang dikisar bersama, kemudian bolehlah dimasak dalam kuali menggunakan minyak dengan api kecil sehingga ia menjadi pekat.
Bahan-bahan sambal
1- Bawang merah
2- Bawang besar
3- Belacan (pilihan)
4- Cili padi
5- Cili kering kisar
6- Gula dan garam
7- Cili besar merah/hijau
8- Sos tomato