Jika mengikut perancangan, sepatutnya lima tahun lalu, pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha sudah naik pelamin.
Malah, jika ditakdirkan dikurniakan rezeki awal, mungkin ketika ini, Daiyan sedang seronok melayari kehidupan alam rumah tangga dengan ditemani suami dan anak kecil.
Bagaimanapun, manusia hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang menentukan segala-galanya.
Entah di mana silapnya, setiap percintaan dilalui pasti berakhir dengan perpisahan, sekali gus menyebabkan Daiyan dilihat sebagai wanita malang dalam bercinta.
Perkara itu diakui Daiyan yang sudah beberapa kali putus cinta termasuk dengan seorang aktor popular.
“Saya memang tak berapa ada tuah dalam bercinta, namun tak mengapa. Saya tak tahu kenapa?
“Mungkin saya seorang yang terlalu mengejar cita-cita dan kuat bekerja. Saya memang tidak ada sesiapa selepas putus cinta setahun lalu,” katanya kepada BH Online.
Meskipun pernah dikasari dengan pengalaman, namun pelakon filem Sumpahan Jerunei itu tidak pernah serik untuk terus memburu cinta.
“Saya tidak pernah membenci cinta dan sangat menghargainya. Saya juga cintakan perkahwinan.
“Cuma, saya rasa belum ada rezeki untuk berkahwin. Saya tidak mahu jalinkan hubungan semata-mata kerana tidak mahu dilihat bersendirian.
“Saya akan tunggu lelaki yang tepat datang melamar. Saya bukan memilih wang ringgit atau rupa.
“Saya lebih mementingkan lelaki yang menjaga hubungannya dengan Allah. Kalau saya jumpa lelaki begitu dan serius, saya akan ajak berkahwin,” ungkap penyanyi yang popular dengan lagu Penat ini.
Ditanya apakah ada sasaran mendirikan rumah tangga, Daiyan tergelak besar mendengar soalan itu.
“Kalau ikut perancangan, saya hendak berkahwin ketika berusia 25 tahun. Tapi, sekarang sudah terlajak lima tahun, saya okay sahaja,” luah Daiyan. – Agensi