Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Neuer mungkin takkan diturunkan

    MUNICH, 9 FEB – Jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel hari ini mengesahkan bahawa kapten Manuel Neuer masih ragu-ragu untuk diturunkan bagi perlawanan esok bertemu pendahulu liga, Bayer Leverkusen memandangkan beliau masih dalam pemulihan daripada kecederaan lutut. Neuer tidak berlatih bersama pasukan minggu ini dan hanya dapat melengkapkan sesi individu kelmarin.

    “Manu (Neuer) akan cuba untuk mengambil bahagian dalam latihan penjaga gol hari ini,” kata Tuchel kepada wartawan.

    “Disebabkan beliau ialah Manu, jadi kami akan memberinya masa sehingga Sabtu pukul 5 petang untuk memberitahu kami sama ada beliau okey.”

    Bayern akan berdepan pasukan kendalian Xabi Alonso yang tidak pernah tewas, Leverkusen, yang duduk dua mata di depan juara Jerman itu di puncak carta Bundesliga, pada jam 1730GMT esok.

    Neuer kembali pada bulan Oktober selepas hampir setahun diketepikan akibat patah kaki.
    Tuchel mengesahkan penjaga gol gantian, Sven Ulreich akan bermain jika Neuer tidak dapat diturunkan.

    Tuchel tiba sebelum perlawanan antara FC Bayern Munich dan Borussia Moenchengladbach di Munich pada 3 Februari 2024. – AFP

    Bayern kekurangan penjaga gol, dengan pilihan ketiga, Daniel Peretz juga tidak dapat bermain akibat kecederaan lutut.

    Leverkusen tidak pernah kalah dalam mana-mana pertandingan musim ini, dengan memenangi 26 dan seri empat daripada 30 perlawanan di bawah bekas pemain tengah Bayern, Alonso.

    Tuchel berkata, ‘30 pasukan telah mencuba dan 30 pasukan belum berjaya menewaskan mereka’.

    “Ia adalah rekod yang cemerlang dan mereka berhak mendapatnya. Mereka bermain dengan sangat baik, tetapi kami hanya ketinggalan dua mata.

    “Ia masih awal musim tetapi ia adalah peluang yang jelas bagi kami untuk menunjukkan kebolehan kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...