Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nikmati hidangan rumpai laut bersama roti dan coklat

    TOKYO – Rumpai laut merupakan bahan penting dalam hidangan klasik Jepun, seperti sup miso dan sayur-sayuran rebus.

    Dahulu, sesetengah jenis rumpai laut hanya dimakan di kawasan tertentu, tetapi kini ia dinikmati secara meluas.

    Penggunaannya juga berubah, di mana rumpai laut kini digunakan dalam roti dan coklat.

    Pada awal Oktober, satu acara telah diadakan di Nihombashi Mitsukoshi Main Store di Chuo Ward, Tokyo, untuk memperkenalkan keistimewaan pelbagai jenis rumpai laut. Pelanggan menikmati ramen yang dihidang-kan dengan lima jenis rumpai laut dalam jumlah yang banyak.

    Lima jenis tersebut adalah waka hijiki yang rangup, mirin yang bertekstur kenyal, tosaka nori kemerahan yang menjadi sedikit lendir apabila dimasak, suji aonori yang mengeluarkan aroma wangi dalam wap sup panas, dan atsuba aosa yang menambah kelazatan hidangan dengan rasa pahit-manisnya yang unik.

    Pain rustique yang mengandungi pelbagai jenis rumpai laut. – ANN/Japan News
    Mi ramen, minuman yang diperbuat daripada rumpai laut tosaka nori dan daun shiso dan pencuci mulut anmitsu dengan rumpai laut mirin disajikan pada acara di Tokyo. – ANN/Japan News

    Kelima-lima jenis rumpai laut itu, yang dimasak untuk mengekalkan tekstur dan rasa asli, merupakan jenis yang semakin berkurangan bekalannya atau biasanya hanya dimakan di kawasan tertentu.

    Ramai pelanggan terkejut apabila mencuba rumpai laut yang tidak biasa. “Saya tidak pernah mencuba beberapa jenis rumpai laut itu sebelum ini. Tetapi saya menyukai teksturnya,” kata seorang pekerja syarikat wanita berusia 45 tahun dari Tokyo.

    Rumpai laut untuk acara tersebut disediakan oleh Sea Vegetable Co, sebuah syarikat permulaan dari Wilayah Kochi. Ditubuhkan pada tahun 2016, syarikat itu berjaya menghasilkan rumpai laut suji aonori secara besar-besaran melalui kaedah pertanian berasaskan daratan, setelah bekalan rumpai laut itu menurun dengan mendadak.

    Syarikat tersebut juga meningkatkan stok rumpai laut mirin melalui pertanian marin.

    Rumpai laut itu, yang dahulunya popular di beberapa kawasan di selatan Kyushu, turut mengalami penurunan drastik sebelum usaha pemulihannya.

    DIGUNAKAN DALAM ROTI, COKLAT

    Bread It Be, sebuah kedai roti di Kamakura, Wilayah Kanagawa, menjual roti keras bernama Nagisa no ryusutikku (rustique), yang dibuat dengan mencampurkan rumpai laut tosaka nori bersama dua jenis rumpai laut lain. Gabungan rasa rumpai laut dan garam batu menghasilkan roti yang menyelerakan.

    “Rasa roti ini lebih menonjol apabila dipanggang. Ia juga enak dijadikan snek bersama minuman beralkohol,” kata pemilik kedai, Ryota Morita Minamiise Marine Bio Co, sebuah syarikat yang mengendalikan pertanian rumpai laut berasaskan daratan di Wilayah Mie, akan mula menerima tempahan untuk produk khas musim sejuk mereka, Chao, pada pertengahan November, tepat pada masanya untuk penghantaran Hari Valentine.

    Produk ini, yang diperbuat daripada coklat putih dan rumpai laut suji aonori, mempunyai rasa sedikit masin dan dijual pada harga ¥1,150.

    Sementara itu, Nomura Suisan Co, yang berpusat di Hakodate, memanfaatkan jenis rumpai laut yang sebelum ini tidak dimakan di Jepun. Dulse, rumpai laut yang tumbuh di kawasan pesisir Pasifik Hokkaido, Tohoku, dan kawasan lain, sering dianggap sebagai pengganggu kerana tumbuh di tempat seperti tali penanaman kelp kombu.

    Namun, syarikat ini menonjolkan fakta bahawa ia dianggap sebagai makanan bernutrisi tinggi di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda