TOKYO, 6 NOV – Nintendo mengumumkan hari ini bahawa permainan video yang dibuat untuk konsol Switch juga boleh dimainkan di versi konsol baharu yang dinanti-nantikan oleh peminat.
Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas gergasi permainan Jepun itu mengurangkan ramalan jualan tahunan mereka dan melaporkan kemerosotan keuntungan bersih sebanyak 60 peratus bagi separuh pertama tahun kewangan ini.
Syarikat itu telah berjanji akan memberi maklumat mengenai pengganti kepada Switch – kini berada dalam tahun kelapan – menjelang akhir Mac.
“Perisian Switch Nintendo juga boleh dimainkan pada alat pengganti Nintendo Switch,” menurut satu hantaran yang dikeluarkan Presiden Syarikat Shuntaro Furukawa di akaun rasmi X.
“Maklumat lanjut mengenai pengganti Nintendo Switch, termasuk keserasiannya dengan Switch, akan diumumkan kemudian,” tambah hantaran tersebut.
Nintendo turut menyatakan bahawa perkhidmatan langganan dalam talian Switch akan tersedia untuk produk baharu ini.
Konsol Switch, boleh digunakan sebagai peranti dan disambungkan ke televisyen, menjadi pilihan ramai dari pelbagai peringkat umur sewaktu pandemik COVID-19, dibantu oleh permainan popular seperti Animal Crossing.
Nintendo melaporkan pengurangan 31 peratus dalam jualan unit Switch bagi tempoh April hingga September, yang diumumkan kelmarin. – AFP