LONDON, 1 APRIL – Norwich kelmarin menjadi kelab Perdana Inggeris yang terbaharu untuk membenarkan cuti daripada bertugas kepada kakitangan dalam tindak balas atas kebimbangan kewangan disebabkan koronavirus.
Kelab yang menduduki tangga tercorot liga akan menggunakan skim pengekalan pekerjaan yang diperkenalkan oleh kerajaan Britain ketika koronavirus, yang mana ia akan membenarkan kakitangan untuk membuat tuntutan sebanyak 80 peratus dari gaji mereka, paling maksimum £2,500 ($3,100) sebulan.
“Disebabkan pandemik COVID-19 ketika ini, Kelab Bola sepak Norwich City akan memulakan proses untuk membenarkan kakitangan untuk bercuti daripada bertugas kepada mereka yang tidak dapat bekerja ketika ini,” Norwich berkata dalam kenyataan. “Kelab akan menambah baki duit yang diterima dari skim untuk memastikan kesemua kakitangan yang dibenarkan bercuti akan menerima gaji mereka secara penuh seperti biasa.”
Dengan Liga Perdana yang telah ditunda sehingga sekurang-kurangnya 30 April disebabkan oleh penularan virus, kelab Newcastle United dan Tottenham Hotspur telah memulakan proses cuti daripada bertugas kepada kakitangannya.
Dengan kerisauan yang semakin meningkat mengenai potensi kemerosotan kewangan dari perintah berkurung untuk sukan, Persatuan Bola Sepak Profesional dalam perbincangan dengan Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga mengenai kemungkinan pemotongan gaji atau penangguhan untuk pemain-pemain di divisyen empat tertinggi Inggeris. – AFP