KUALA LUMPUR, 6 FEB – Legenda olahraga Malaysia, Nur Herman Majid menyuarakan harapan besar untuk melihat atlet kebangsaan menawan podium dalam acara 110 meter (m) lari berpagar di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Bagi jurulatih berpengalaman itu, impian tersebut bukan mustahil, terutama dengan kehadiran dua atlet berbakat Mohd Rizzua Haizad Muhamad dan Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, yang masing-masing menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi.
Mohd Rizzua, yang mencatat rekod musim terbaik 14.13 saat (s) tahun lepas dan Muhammad Hazriq, atlet muda dari Johor yang merekodkan 14.25s, pada Julai tahun lepas dilihat berpotensi besar untuk mencipta kejutan di pentas serantau.
Pemenang pingat gangsa 110m lari berpagar lelaki di Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun itu berkata kedua-dua anak buahnya masih dalam proses pembelajaran dan telah menunjukkan kemajuan yang positif.
“Insya-Allah, semuanya bergantung kepada atlet sendiri – sejauh mana mereka berani mencabar diri dan berusaha mencapai kejayaan.
“Sebagai jurulatih, saya hanya mampu membimbing mereka untuk mencapai pencapaian yang lebih tinggi,” kata Nur Herman, pemenang enam pingat emas Sukan SEA, dalam satu video yang dikongsi oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini.
Beliau optimis bahawa 2025 bakal menjadi tahun gemilang buat atlet lari berpagar negara dan berharap kedua-dua anak buahnya mampu menempatkan diri sebagai pemenang pingat di temasya berprestij itu.
Mohd Rizzua, 28, telah mencatat masa terbaik peribadinya, 13.85s, di Thailand pada Julai 2023 dan merupakan sebahagian daripada Program Podium.
Sementara itu, Muhammad Hazriq, 18, yang menyinar di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2023 dengan dua pingat emas, termasuk dalam acara lari berpagar, berada dalam program pelapis dan terus mencatat masa memberangsangkan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P23-4-Bernama-web_07022025.jpg)