Monday, March 17, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Objek mencurigakan dikesan, perkhidmatan kereta api tertangguh

    TOKYO, 25 APRIL – Sebuah objek yang mencurigakan telah ditemui dalam sebuah beg kertas di dalam bangunan komersial yang bersambung dengan stesen kereta api Hiroshima hari ini.

    Penemuan objek tersebut mengakibatkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi terpaksa digantungkan sementara dan mendorong pemindahan pelanggan serta kakitangan, ketika bandar Jepun itu meningkatkan kawalan keselamatan menjelang Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh bulan hadapan.

    Polis Hiroshima berkata unit khasnya telah mengeluarkan objek tersebut dari bilik tandas kira-kira empat jam selepas ia mula-mula dikesan.

    Mereka juga terus menganalisis kandungan dan menyiasat sama ada terdapat sebarang niat jenayah.

    Pihak polis mengerahkan pasukan pengendali bahan letupan dan unit antikeganasan selepas memindahkan semua pelanggan dan kakitangan ketika bangunan komersial Ekie dibanjiri oleh orang ramai yang sedang menikmati makanan tengah hari dan membeli-belah.

    Sementara itu, West Japan Railway Corporation telah menggantungkan perkhidmatan kereta api Shinkansen selama hampir dua jam.

    Pegawai polis berkata terdapat kemungkinan reaksi yang berlebihan terhadap sesuatu yang mungkin sebenarnya tidak mendatangkan bahaya.

    Pegawai polis telah meningkatkan kawalan keselamatan menjelang sidang kemuncak yang akan diadakan di Hiroshima pada 19 hingga 21 Mei, dan juga selepas insiden yang berlaku 10 hari lalu di mana seorang lelaki melemparkan peranti letupan ke arah Perdana Menteri Fumio Kishida di bandar Wakayama.

    Serangan itu dilakukan kurang setahun selepas kejadian pembunuhan bekas perdana menteri, Shinzo Abe. – AP

    Pegawai polis mengawal pintu utama bangunan komersial Ekie selepas sebuah objek ditemui di Hiroshima, kelmarin.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda