Thursday, May 2, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    OpenAI buka pejabat di Tokyo

    TOKYO, 15 APRIL – Pencipta ChatGPT, OpenAI telah membuka pejabat baharu di Tokyo hari ini, menjadi cawangan pertama syarikat teknologi yang luar biasa itu di Asia ketika ia menyasarkan untuk mengembangkan perniagaannya secara global.

    Berikutan kejayaan luar biasa alat generatifnya yang boleh mencipta teks, imej dan juga video, OpenAI telah menjadi peneraju dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) dan salah satu syarikat teknologi yang paling penting di dunia.

    Pejabat di Jepun itu merupakan sebahagian daripada usaha antarabangsa firma yang disokong oleh Microsoft, setelah membuka pejabat di London dan Dublin.

    “Kami teruja untuk berada di Jepun yang mempunyai sejarah yang kaya di mana orang dan teknologi bersatu untuk melakukan lebih banyak perkara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman dalam satu kenyataan.

    “Kami percaya AI akan mempercepatkan kerja dengan memperkasakan orang ramai untuk menjadi lebih kreatif dan produktif, di samping memberikan nilai yang luas kepada industri sedia ada dan baharu yang masih belum dapat dibayangkan.”

    OpenAI berkata pejabat Jepun itu akan membawanya lebih dekat kepada pelanggan korporat – termasuk peneraju kereta global, Toyota; konglomerat teknologi, Rakuten; dan gergasi perindustrian, Daikin yang menggunakan produknya ‘untuk mengautomasikan proses perniagaan yang kompleks’.

    “Kami memilih Tokyo sebagai pejabat pertama kami di Asia kerana kepimpinan globalnya dalam teknologi, budaya perkhidmatan dan komuniti yang menerima inovasi,” tambah syarikat itu. – AFP

    Ketua Pegawai Operasi OpenAI, Brad Lightcap mengadakan sidang akhbar mengenai pembukaan pejabat mereka di Tokyo kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...