SANTO DOMINGO, 23 APRIL – Pihak berkuasa di Republik Dominican telah melancarkan operasi memburu pendatang haram di hospital, termasuk menahan wanita-wanita hamil dan ibu yang baru bersalin dalam tindakan keras terhadap kemasukan warga Haiti.
Seramai 87 wanita dan 48 kanak-kanak telah ditahan pada Isnin di hospital dan wad bersalin di seluruh negara Caribbean itu, yang kini sedang giat mengusir pendatang haram dari Haiti.
Lebih separuh daripada wanita yang ditahan pada hari pertama operasi menyasarkan hospital itu sedang hamil, menurut angka rasmi. Selebihnya baru sahaja melahirkan anak. Tiada lelaki yang ditahan.
Seorang wartawan AFP menyaksikan tiga wanita bersama anak damit dalam pelukan dibawa pergi oleh pegawai imigresen dari hospital Notre-Dame de la Altagracia di bandar Santo Domingo.
Presiden Republik Dominican, Luis Abinader telah mengambil pendekatan tegas terhadap migrasi dari Haiti sejak beliau memegang jawatan pada 2020. Kedua-dua negara itu berkongsi pulau Hispaniola, pulau kedua terbesar di Caribbean selepas Cuba.
Kerajaan Dominican menyatakan, walaupun pendatang haram boleh menerima rawatan perubatan, mereka akan dihantar pulang segera selepas itu jika didapati berada di negara itu secara haram. – AFP
