Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Bersih: Satu individu, 3 syarikat kena kompaun

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Bahagian Pengawalan dan Penguatkuasaan Bandar, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) telah melaksanakan Operasi Bersih 14/2024 di kawasan Menglait, Gadong baru-baru ini, yang menyaksikan tindakan tegas diambil terhadap individu serta beberapa bengkel membaiki kenderaan atas pelanggaran Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Pindaan 2021) Penggal 30.

    Dalam operasi tersebut, seorang individu dan tiga bengkel didapati melanggar undang-undang, termasuk membuang sisa minyak kenderaan terpakai yang mengalir ke jalan awam dan longkang, membuang sisa perniagaan seperti bekas alat ganti kenderaan di tanah lapang, serta meninggalkan kenderaan rosak di atas tanah kerajaan dan jalan awam.

    Semasa operasi itu, sebuah bengkel dikenakan kompaun sebanyak $1,000 dan sebuah lagi dikenakan denda sebanyak $2,000, masing-masing atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) (d).

    Sementara itu sebuah lagi bengkel dikenakan kompaun $2,000 atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) (c/d/f), manakala seorang individu didenda $300 atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) (e).

    Menurut pindaan di bawah Perintah Kesalahan-kesalahan Rampaian (Pindaan 2021), kadar kompaun bagi mana-mana individu atau entiti korporat yang melanggar undang-undang adalah tidak melebihi $1,000 untuk individu dan tidak melebihi $2,000 bagi badan korporat.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan operasi tersebut di salah sebuah bengkel di kawasan Menglait, Gadong. – GAMBAR SERAHAN JBBSB
    Antara sisa yang dibuang di kawasan tanah lapang. – GAMBAR SERAHAN JBBSB

    Sekiranya kesalahan tersebut diambil tindakan melalui mahkamah, denda bagi individu yang sabit kesalahan adalah antara $1,000 hingga $3,000 bagi kesalahan pertama, dan antara $3,000 hingga $9,000 serta kemungkinan penjara sehingga enam bulan bagi kesalahan berikutnya.

    Manakala bagi entiti korporat, denda bagi kesalahan pertama adalah antara $2,000 hingga $10,000, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda antara $10,000 hingga $30,000, dengan kemungkinan hukuman penjara sehingga 12 bulan.

    Individu dan syarikat yang dikenakan kompaun dikehendaki membuat pembayaran di Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Bangunan JBBSB dalam tempoh tujuh hari.

    Jabatan berkenaan turut menyeru orang ramai serta pemilik dan penyewa bangunan untuk terus menjaga kebersihan, keindahan, keselamatan dan kesejahteraan negara ini.

    Pihak JBBSB ingin mengalu-alukan orang ramai untuk mengemukakan sebarang aduan dan berkongsi maklumat ke talian E-Darussalam: 123, atau email ke Info@123.gov.bn, atau laman sesawang di www.123.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda