Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kelinga kesan majikan lakukan kesalahan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan Jab. Buruh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Satu kesalahan telah dikesan semasa Operasi Kelinga 13/2023 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di kawasan pembinaan Kampung Lambak, baru-baru ini.

    Dalam operasi pada 17 Januari lalu itu, majikan didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 iaitu, Bab 112(2) – kesalahan melanggar lesen syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing.

    Jika sabit kesalahan, majikan asal dan majikan yang menggaji boleh dikenakan kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

    Bagi kesalahan ketiga atau gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $6,000 dan tidak melebihi $10,000, penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, operasi bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerja-an 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    Penguat kuasa Jabatan Buruh semasa melaksanakan Ops Kelinga di Kg Lambak baru-baru ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda