Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Dua orang perempuan warga asing telah ditahan semasa Operasi Tumpas JIPK 71/ 2022 oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) Bandar Seri Begawan yang menyasarkan beberapa kawasan di daerah ini.
Hasil siasatan mendapati mereka telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3) Imigresen Penggal 17 kerana menyalahgunakan syarat-syarat pas kerja iaitu melakukan aktiviti menyanyi dengan bayaran sebanyak $300 bagi satu persembahan.
Kedua-kedua mereka telah dikenakan denda kompaun sebanyak $600 dan pas kerja dibatalkan seterusnya dipulangkan ke negara asal mereka. Nama-nama mereka juga telah disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan masuk ke negara ini.
Sementara itu, Operasi Tumpas JIPK 73/2022, yang menyasarkan kawasan kebun hari ini berjaya menahan seorang lelaki warga asing kerana gagal menunjukkan dokumen yang sah dan dipercayai tinggal lebih masa.
Lelaki terbabit telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK atas kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17.
Sehubungan itu, JIPK ingin mengingatkan orang ramai bahawa memberi pekerjaan atau mengaji mana-mana pesalah imigresen adalah menjadi kesalahan yang mana boleh diambil tindakan undang-undang.
