Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Orang junub dan berhadats: Bolehkah berzikir?

    Sambungan dari minggu lepas

    Begitu juga dalam hadits yang lain disebutkan bahawa berzikir boleh mensucikan hati, mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala disamping boleh meraih keredhaanNya.

    Disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abi Darda Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu tentang amalan yang sangat baik bagi kamu, yang sangat bersih di sisi Tuhan kamu, dan boleh menaikkan tahap darjat kamu, dan (amalan itu) lebih baik untuk kamu daripada membelanjakan emas dan perak, dan (lebih baik untuk kamu) daripada kamu berdepan dengan musuh lalu kamu memenggal leher mereka, dan mereka juga memenggal leher kamu?, Mereka (para sahabat) bertanya: “Apa dia (amalan itu) wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Berzikir kepada Allah Azza wa Jalla.

    (Hadits riwayat al-Hakim)

    Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullahu ta‘ala menerangkan bahawa maksud mengingati Allah sebagaimana disebutkan dalam hadits Abi Darda Radhiallahu ‘anhu itu ialah zikir yang sempurna yang menggabungkan zikir dengan lisan dan zikir dengan hati iaitu memikirkan maksud zikir di samping menghadirkan kesedaran hati akan kebesaran Allah Ta‘ala.

    Sesiapa yang berzikir sebegini adalah lebih afdhal dari berjihad membunuh orang kafir (musuh) yang memerangi kita.

    Foto Canva

    Kelebihan berjihad tanpa menghadirkan kesedaran hati dinisbahkan hanya seperti zikir dengan lidah sahaja. Maka apapun amalan seperti sembahyang, puasa, sedekah ataupun berjihad memerangi orang kafir, yang meliputi bukan sahaja zikir dengan lidah tetapi dalam masa yang sama hati juga mengenang akan kebesaran Allah Ta‘ala adalah mencapai tahap kemuncak zikir.

    Oleh itu, janganlah dilepaskan peluang berzikir memandangkan fadhilatnya yang sangat besar sebagaimana disebutkan sebelum ini. Akan tetapi, timbul persoalan bagaimana pula berzikir bagi orang yang sedang dalam keadaan junub dan berhadats. Adakah boleh orang yang sedang dalam keadaan junub atau berhadats itu berzikir?

    BERZIKIR KETIKA JUNUB DAN BERHADATS

    Berzikir boleh dilakukan dalam setiap keadaan melainkan dalam waktu-waktu tertentu yang dikecualikan berzikir seperti ketika duduk qadha hajat ataupun ketika khatib sedang berkhutbah.

    Antara adab berzikir pula ialah orang yang berzikir itu adalah dituntut dalam keadaan suci daripada hadats. Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al-Muhajir bin Qunfuz bahawa dia telah memberi salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam setelah Nabi membuang air kecil. Akan tetapi Nabi tidak menjawabnya melainkan setelah berwudhu, Baginda pun bersabda yang maksudnya:

    Sesungguhnya aku tidak suka mengingat Allah ‘Azza wa Jalla (berzikir) melainkan dalam keadaan suci.

    (Hadits riwayat al-Hakim)

    Hadits ini menunjukkan bahawa berzikir adalah afdhal dalam keadaan suci daripada hadats umpamanya dengan berwudhu. Namun suci daripada hadats ini bukanlah sebagai syarat untuk seseorang itu boleh berzikir kerana Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga berzikir pada setiap keadaan sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aishah Radhilallahu ‘anha yang maksudnya:

    Adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengingati Allah (berzikir) pada setiap keadaannya.

    (Hadits riwayat Muslim)

    Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa orang yang dalam keadaan berhadats, junub, haidh dan nifas adalah harus membaca zikir seperti tasbih, tahlil, tahmid, takbir, shalawat dan doa. Sama ada dengan hati ataupun dengan lidah sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Azkar susunan Imam an-Nawawi Rahimahullahu ta‘ala.

    JENIS-JENIS ZIKIR

    Secara umumnya zikir terbahagi kepada dua iaitu: Zikir yang ma’tsur dan zikir yang tidak ma’tsur. Zikir ma’tsur itu ialah zikir yang diajarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya ialah seperti takbir, tahlil, tahmid, tasbih, hauqalah (La hawla wa-la quwwata illa billah), shalawat. Sementara zikir yang tidak ma’tsur pula ialah zikir yang bukan diajarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam namun mengandungi puji-pujian kepada Allah Ta‘ala jua seperti zikir mutlak. Walaupun boleh beramal dengan zikir yang tidak ma’tsur namun adalah afdhal beramal dengan zikir-zikir yang ma’tsur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda