MADRID, 23 APRIL – Naomi Osaka memulakan kempen gelanggang tanah liatnya dengan kekalahan di pusingan pertama Terbuka Madrid, selepas tewas kepada Lucia Bronzetti kelmarin.
Juara Grand Slam empat kali dari Jepun itu gagal menyempurnakan mata penamat dan akhirnya tewas 4-6, 6-2, 4-6.
Bronzetti dilihat memeriksa keadaan Osaka sebaik sahaja mereka bersalaman di jaring selepas perlawanan.
Osaka, kini di kedudukan ke-55 dunia dan tidak disenaraikan sebagai pemain pilihan, tampil buat kali pertama dalam hampir sebulan selepas mara ke pusingan keempat Terbuka Miami.
Bronzetti dari Itali bakal berdepan pilihan kelima, Madison Keys dari Amerika Syarikat (AS), di pusingan kedua – dalam usaha memburu kemunculan ketiga di pusingan ketiga kejohanan WTA 1000.

Pemain muda Filipina, Alexandra Eala, bakal bertemu semula dengan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek, di pusingan kedua selepas mengejutkan bintang Poland itu di Miami bulan lalu.
Eala, 19, mara selepas menewaskan Viktoriya Tomova 6-3, 6-2 di pusingan pertama.
“Setiap perlawanan adalah cerita berbeza,” kata Eala. “Meskipun lawannya sama, masanya berbeza, tempatnya berbeza, ceritanya tetap berlainan.”
Caroline Dolehide dari AS turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Elina Avanesyan 6-4, 6-4 dan bakal berdepan Liudmila Samsonova.
Dua lagi wakil AS, Peyton Stearns dan Hailey Baptiste, turut mencatat kemenangan.
Stearns bangkit menewaskan Kimberly Birrell 5-7, 6-3, 6-4, manakala Baptiste menundukkan Sorana Cirstea 6-2, 5-7, 7-6 (4). – AP