Thursday, January 30, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Osaka larang merokok menjelang Ekspo Dunia 2025

    TOKYO, 27 JAN – Bandar Osaka di Jepun telah melaksanakan larangan merokok di jalan-jalan awam bermula hari ini sebagai usaha menjadikan bandar itu lebih mesra pengunjung menjelang Ekspo Dunia tahun ini.

    Ekspo Dunia 2025, yang diadakan setiap lima tahun di lokasi global yang berbeza, akan menyaksikan penyertaan dari kira-kira 160 negara dan wilayah.

    “Ekspo Dunia bermula April ini. Kami ingin menyambut ramai pengunjung dari seluruh dunia dan menjadikan Osaka sebuah bandar yang selamat dengan jalan bebas asap rokok,” kata Datuk Bandar Hideyuki Yokoyama, pada awal Januari.

    Sebelum larangan merokok dilaksanakan hari ini, merokok telah dilarang di enam zon termasuk kawasan sekitar stesen Osaka. Larangan itu kini diperluaskan ke seluruh bandar dan pesalah boleh dikenakan denda sebanyak 1,000 yen (AS$6.40).

    Peraturan tempatan sebelum ini melarang amalan merokok sambil berjalan di kebanyakan tempat di Jepun, namun bantahan daripada beberapa ahli politik menghalang pelaksanaan undang-undang tegas itu pada peringkat nasional.

    Gambar menunjukkan suasana jalan di daerah Namba di tengah Osaka pada 18 Januari. – AFP

    Bermula April, wilayah Osaka akan melarang merokok di kedai makan dengan ruang tempat duduk melebihi 30 meter persegi, tetapi merokok di ruang khas, seperti bilik merokok, masih dibenarkan.

    Undang-undang peringkat nasional yang sedia ada melarang merokok di premis makanan dengan keluasan lebih 100 meter persegi.

    Dalam pada itu, Ekspo Dunia 2025 berdepan cabaran dengan penjualan tiket yang perlahan serta kebimbangan awam terhadap peruntukan pembinaan.

    Setakat awal bulan ini, kira-kira 7.5 juta tiket telah terjual untuk acara selama enam bulan itu, hanya separuh daripada sasaran penganjur.

    Ibu negara Tokyo telah melarang merokok di semua restoran pada 2018 sebagai persediaan untuk Olimpik Tokyo, tetapi merokok di luar masih dibenarkan di beberapa daerah di Tokyo.

    Kerajaan pusat dan tempatan Jepun memperoleh hasil cukai rokok sebanyak dua trilion yen (AS$13 bilion) setiap tahun. Kerajaan Jepun juga memiliki satu pertiga pegangan dalam syarikat tembakau terbesar ketiga dunia iaitu Japan Tobacco. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda