TORONTO, 8 OGOS – Bekas pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka mara ke pusingan kedua WTA Toronto Masters kelmarin dengan kemenangan 6-3, 6-1 ke atas pemain Tunisia, Ons Jabeur.
Juara Grand Slam empat kali dari Jepun itu hanya memerlukan 72 minit untuk menyingkirkan pilihan kesembilan, Jabeur dan meraih kemenangan kelimanya tahun ini ke atas pemain yang berada di ranking 20 teratas dalam kepulangannya daripada cuti bersalin.
Osaka telah memenangi kesemua tujuh gelaran WTA miliknya di gelanggang keras, termasuk Terbuka AS 2018 dan 2020 serta mahkota Terbuka Australia 2019 dan 2021, dan berharap untuk menambah kejayaan di gelanggang keras Terbuka AS itu ke dalam senarai.
“Semua orang tahu saya suka bermain di gelanggang keras. Saya tidak terlalu memikirkannya. Ia berdasarkan naluri,” kata Osaka mengenai kemenangannya.
“Apabila saya bermain menentang pemain terbaik, seperti Ons, saya cenderung bermain lebih baik.
“Saya berasa cukup yakin dengan diri saya sebagai seorang individu dan sebagai pemain, dan saya rasa ia jelas dilihat dalam prestasi saya semasa perlawanan,” tambahnya. – AFP