Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, telah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang lelaki warga tempatan atas kesalahan mencuri telefon bimbit.
Mohammad Aliakhbar bin Ahmad, 28, mengaku salah terhadap dakwaan itu di hadapan Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Ariffin Ismail mendedahkan kepada mahkamah bahawa tertuduh berjalan kaki ke rumah rakannya di Jalan Karuak, RPN Panaga, Seria, Daerah Belait pada pukul 5 petang, 16 Julai lalu.
Apabila tiba di rumah berkenaan, tertuduh disambut oleh anak lelaki mangsa yang keluarganya tinggal di rumah rakan tertuduh.
Tertuduh meminta anak mangsa memanggil rakannya dan ketika itu, tertuduh terlihat telefon bimbit di atas meja bilik tamu. Dia memasuki rumah dan mengambil telefon berkenaan dan menyembunyikannya dalam begnya.
Oleh sebab rakannya tidak keluar, tertuduh lalu pergi.
Tertuduh kemudian bertemu seorang rakan yang membeli telefon bimbit curi berkenaan pada harga $20.
Pembeli memberikan telefon berkenaan kepada teman wanitanya yang kebetulan saudara mangsa. Wanita berkenaan menghidupkan telefon berkenaan dan mendapati butiran peribadi saudaranya dan menghubunginya untuk mengesahkan jika dia telah menjual telefonnya serta memberitahu bahawa telefon berkenaan di tangannya.
Mangsa kemudian mengesahkan bahawa telefonnya telah dicuri dan ini menyebabkan mangsa membuat laporan polis.