Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Palace mara ke final Piala FA

    LONDON, 27 APRIL – Crystal Palace mara ke final Piala FA buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun selepas dua goal dari Ismaila Sarr dan satu rembatan padu daripada Eberechi Eze memastikan kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa di Wembley semalam.

    Skuad kendalian Oliver Glasner mendahului pada separuh akhir menerusi rembatan jarak jauh Eze sebelum Sarr menambah dua gol pada separuh masa kedua.

    Pada aksi final yang dijadual berlangsung pada 17 Mei ini, Palace akan berdepan sama ada Nottingham Forest atau Manchester City, yang bakal berentap dalam separuh akhir kedua hari ini.

    The Eagles tidak pernah menjuarai Piala FA, selepas tewas dalam dua penampilan final sebelum ini menentang Manchester United pada 2016 dan 1990.

    “Pujian buat semua pemain. Mereka terpaksa bekerja keras dan mengharungi beberapa detik sukar,” kata Glasner.

    Ismaila Sarr dari Crystal Palace meraikan jaringan gol kedua pasukannya dalam perlawanan separuh akhir Piala FA England antara Crystal Palace dan Aston Villa di Stadium Wembley, London, pada 26 April. – AP

    “Kami lebih banyak menguasai dan ia adalah persembahan yang luar biasa. Para pemain tetap mengikut perancangan dan tidak pernah hilang fokus.

    “Saya sendiri tidak pasti bagaimana perasaan saya ketika ini – agak keletihan. Pemain kini akan diberi cuti empat hari. Mereka sepatutnya menikmati detik menyeronokkan ini.”

    Villa, yang kali terakhir menjuarai Piala FA pada 1957, berharap dapat mara ke final buat pertama kali sejak 2015.

    Namun pasukan kendalian Unai Emery mempamerkan aksi hambar dan kini perlu berpuas hati untuk berjuang melayakkan diri ke Liga Juara-juara menerusi kedudukan lima teratas dalam Liga Perdana Inggeris.

    “Apabila mereka menjaringkan gol pertama, ia lebih sukar buat kami dan kami hanya mula bertindak balas selepas ketinggalan 2-0. Kami kemudian mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal. Dalam situasi serangan balas, mereka sangat bagus dan mereka layak menang,” kata Emery.

    “Maaf kepada penyokong kami kerana mereka begitu bersemangat. Kami perlu menerimanya. Kami perlu segera bangkit kerana dalam liga, kami mempunyai objektif paling penting.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda