KUALA LUMPUR, 23 MAC – Pasangan beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, perlu memiliki karakter berani dan bermain lebih garang seandainya mahu melangkah lebih jauh pada masa depan.
Bekas pemain badminton Malaysia, Chan Peng Soon berkata pasangan ke-14 dunia itu perlu mencontohi karakter dimiliki rakan senegara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sehingga berjaya muncul antara pasangan terbaik dunia ketika ini.
“Mereka (Pang Ron-Su Yin) masih perlu kerja keras dan lebih matang, mereka mungkin bukan gandingan yang baik di Malaysia pada masa ini, tapi di masa depan kita tidak tahu.
“Jangan terlalu awal putus asa, kerana masih ada peluang. Mereka perlu konsisten dan lebih berani sekali gus dapat bina keyakinan diri dalam gelanggang, itu sangat penting,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pang Ron-Su Yin mengalami musim yang kurang menentu setakat ini apabila hanya mara ke suku akhir sebanyak dua kali daripada tujuh kejohanan disertai.
Pencapaian terbaik mereka sejak digandingkan pada 2023 adalah muncul naib juara China Masters 2024 selepas tumpas kepada gandingan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 23-21, 23-25, 16-21.
Sementara itu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menyifatkan apa dilalui Tang Jie-Ee Wei susulan prestasi hambar mereka selepas tersingkir awal pada dua kejohanan Eropah sebelum ini adalah perkara biasa dialami mana-mana pasangan.
Spekulasi kini bertiup kencang sama ada terdapat ‘persengketaan’ antara pasangan keempat dunia itu apabila Ee Wei memadam semua gambar bersama Tang Jie di laman Instagram baru-baru ini selepas mereka tersungkur di pusingan pertama Seluruh England 2025. – Bernama
