KAJIAN Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2015 mengenai gejala buli siber membabitkan 7,600 kanak-kanak dan remaja berumur lapan hingga 17 tahun di 25 negara menunjukkan China mencatatkan peratusan tertinggi gejala buli siber dengan 70 peratus, diikuti Singapura (58 peratus) dan India (53 peratus). Malaysia menduduki tempat keempat dengan 33 peratus diikuti Pakistan (26 peratus) dan Jepun (17 peratus).
China dan Singapura melaporkan kadar buli dalam talian tertinggi berbanding buli secara bersemuka dan ia amat membimbangkan kerana peratusan ini semakin meningkat setiap tahun.
Walaupun Internet menyediakan peluang terbuka untuk kanak-kanak berkomunikasi, belajar dan mengembangkan kemahiran baharu, ibu bapa perlu sedar penjenayah siber bersembunyi di mana saja terutama dalam talian. Ini boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan yang tidak sesuai, tingkah laku jenayah dan berita palsu.
Fortinet, peneraju global dalam penyelesaian keselamatan siber yang luas dan bersepadu menggesa ibu bapa menyelia aktiviti dalam talian kanak-kanak dan mendidik mereka melayari Internet dengan selamat. Menurut Pengurus Negara Fortinet Malaysia Alex Loh, oleh kerana Internet terutama jalur lebar mudah alih menjadi lebih mudah diakses dan mampu dimiliki, lebih ramai kanak-kanak melayarinya untuk tempoh lebih lama.
“Ibu bapa perlu lebih peka terhadap bahaya tersembunyi dalam talian. Walaupun Internet menawarkan bahan pendidikan, permainan menyeronokkan dan cara baharu berhubung dengan rakan, ia juga boleh menjadi tempat untuk melakukan buli siber.

“Kandungan bahan yang tidak sesuai dan berbahaya membuatkan penjenayah mencari mangsa dan mencuri identiti kanak-kanak dan keluarga mereka,” katanya.
Cara lindungi anak
Ada beberapa cara dicadangkan Fortinet bagi membantu kanak-kanak kekal selamat ketika menggunakan Internet, antaranya:
1. Tempoh guna
Berbincang dengan anak mengenai masa mereka menggunakan komputer. Cuba tetapkan sempadan termasuk peraturan mengenai berapa lama mereka boleh melayari laman sesawang, program perisian yang boleh digunakan dan aktiviti yang dibenarkan berdasarkan kesesuaian umur, pengetahuan dan kematangan.
2. Simpan maklumat peribadi
Kepentingan menyimpan maklumat peribadi adalah sangat penting. Maklumat peribadi dan gambar di Internet mendatangkan bahaya kerana boleh digunakan penjenayah untuk tujuan jahat. Ini kerana gambar yang dimuat naik ini sukar untuk dipadamkan. Ia membawa kesan pada masa hadapan jika disalahgunakan. Semak tetapan privasi anak anda di laman media sosial untuk mengelakkan individu yang tidak dikenali mengakses maklumat peribadi.
3. Pastikan anak anda memahami
-Jangan sesekali memberikan nama, nombor telefon, alamat emel, kata laluan, alamat, nama sekolah atau gambar tanpa kebenaran anda.
-Jangan membalas sesuatu mesej yang berbahaya.
-Jangan membuka emel atau lampiran daripada individu yang tidak dikenali.
-Jangan berkumpul dengan orang yang mereka kenali menerusi dalam talian.
4. Lapor
Biar kanak-kanak tahu untuk melaporkan apa yang dirasakan tidak betul. Kanak-kanak seharusnya diberi amaran mengenai bahaya di Internet supaya mereka dapat mengenali kelakuan atau aktiviti yang mencurigakan. Galakan anak anda bercerita jika berhadapan apa juga masalah di laman web, e-mel atau laman sembang yang membuatkan mereka kurang selesa.
5. Pantau aktiviti
Berhati-hati dengan aktiviti komputer anak anda. Pantau aktiviti dalam talian termasuk laman web yang mereka lawati. Pastikan anda mempunyai kesedaran mengenai dengan siapa mereka berkomunikasi.
6. Lokasi
Letak komputer di kawasan terbuka. Ini memudahkan anda untuk memantau aktiviti anak-anak dan dapat mengelak anak daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Anda juga boleh bertindak sekiranya melihat perkara yang boleh mendatangkan kesan negatif.
7. Kawal pelayar
Pertimbangkan untuk melaksanakan kawalan ibu bapa di pelayar web. Pelayar web membolehkan anda menyekat atau hanya membenarkan laman web tertentu untuk dilihat di komputer yang dikenali sebagai ‘whitelisting’ dan tetapan ini boleh dilindungi dengan kata laluan.
Walaupun tiada teknologi yang sempurna, terdapat aplikasi perisian komersial yang boleh dipasang untuk memantau, menapis dan menyekat akses ke kandungan berbahaya dalam talian. Ibu bapa juga boleh menyemak dengan penyedia perkhidmatan Internet mudah alih jika mereka menyediakan perkhidmatan sekatan sebagai tambahan pilihan.
Peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak mereka
Umumnya mengetahui bahawa penjajahan minda lebih berbahaya daripada penjajahan secara fizikal kerana penjajahan minda ini bersifat halus dan sukar untuk dikesan berbanding dengan penjajahan Internet. Melalui Internet, penjajahan minda ini lebih halus dan mudah disebarkan kerana generasi muda hari ini terlalu leka dengan Internet sehingga terikut-ikut akan budaya kuning serta hedonisme yang dibawa oleh anasir luar.
Dakyah hendonisme amat dasyat sehingga remaja merupakan benteng pertahanan negara dikongkong dan kehidupan mereka lebih mengutamakan hiburan dan keseronokan sehinggakan tanggungjawab mereka sebagai pelajar hapus daripada minda. Sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa orang yang paling hampir dengan remaja perlu mengawasi anak-anak mereka agar budaya kuning serta hendonisme ini tidak menjadi ikutan anak-anak.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak?
Antara peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah ibu bapa perlulah memberi didikan agama yang mantap kepada anak-anak sebagai pendinding kepada anak-anak agar terelak daripada dakyah songsang Barat. Internet bukanlah sesuatu yang mudah dikawal ‘programming’nya.
Oleh sebab itu, banyak laman-laman web yang mengandungi unsur-unsur negatif seperti budaya Black Metal, Skin Head dan pornografi tersebar dengan begitu pantas di Internet. Melalui didikan agama yang mantap sahaja, anak-anak dapat membezakan yang mana perbuatan keji dan yang mana perbuatan mulia.
Akhlak buruk boleh merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu. Sekiranya anak-anak melayari laman-laman web yang berunsur negatif sudah pasti merosakkan minda mereka dan menyebabkan mereka lalai untuk menyelesaikan tuntutan agama yang wajib ditunaikan seperti sembahyang lima waktu sehari semalam serta menjalankan tanggungjawab belajar kerana hanya dengan pendidikan mereka mampu mengubah status ekonomi keluarga. Oleh itu, jelaslah bahawa memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak adalah penting bagi mengurangkan masalah penyalahgunaan Internet.
Selain memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak, ibu bapa juga perlu mengehadkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Memang tidak dinafikan bahawa Internet mempunyai pelbagai kebaikan tetapi ibu bapa perlulah sedar bahawa Internet juga boleh mendatangkan pelbagai keburukan kepada anak-anak.
Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka mestilah menetapkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa hanya membenarkan anak-anaknya menggunakan Internet pada waktu-waktu tertentu seperti mencari bahan ilmiah ataupun untuk menghilangkan stres.
Hal ini secara tidak langsung akan mengajar anak-anak agar menggunakan masa dengan baik di samping bijak menggunakan Internet. Sekiranya anak bebas menggunakan Internet setiap masa, impaknya mungkin akan melalaikan anak-anak. Jadi, ibu bapa perlu mengehadkan masa penggunaan Internet anak-anak agar mereka lebih berdisiplin ketika menggunakan Internet.
Seterusnya, ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang Internet kepada anak-anak. Pendedahan berkaitan Internet adalah penting agar anak-anak mengetahui kebaikan dan keburukan Internet sewaktu akhlak mereka masih boleh dibentuk seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Hal ini akan menyebabkan mereka akan lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi-aplikasi yang melibatkan penggunaan Internet. Ibu bapa perlulah menunjukkan sikap positif ketika menggunakan Internet di hadapan anak-anak dan mengajar mereka tentang cara penggunaan Internet yang betul.
Hal ini kerana tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Cuba bayangkan sekiranya anak-anak tidak diberikan pendedahan tentang Internet daripada kecil. Mungkin apabila dewasa kelak mereka akan terikut-ikut budaya-budaya yang tidak bermoral yang telah dipelajarinya daripada Internet.
Di samping itu, sebagai ibu bapa yang menyayangi anak-anak, mereka perlu mendekatkan diri anak-anak semasa mereka melakukan aktiviti pembelajaran menggunakan Internet. Pada masa kini, pembelajaran menjadi lebih mudah dengan adanya Internet.
Pelbagai laman sesawang telah diwujudkan bagi kemudahan pembelajaran. Sekiranya anak-anak kerap menggunakan Internet untuk menuntut ilmu, ibu bapa perlulah menyokong tindakan anaknya itu. Ibu bapa tidak perlu risau sekiranya anak-anak tidak menggunakan buku untuk belajar malah mereka harus berbangga kerana anak-anak mereka merupakan generasi yang pintar dalam menggunakan teknologi maklumat dan telekomunikasi.
Tambahan pula, sebagai ibu bapa yang tahu penggunaan Internet, mereka tidak perlu risau kerana mereka boleh mengesan aktiviti Internet anak-anak dengan memantau bahagian ‘history’ atau sejarah penggunaan enjin carian sama ada Google, Al-Tavista, Monzila Firefox, Yahoo atau MSN.
Hanya dengan cara ini ibu bapa akan tahu sama ada anak-anak mereka menggunakan Internet untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya. Jadi, sebagai ibu bapa, mereka haruslah menyokong tindakan anak-anak dalam proses meningkatkan kecerdasan otak (IQ) melalui penggunaan Internet dalam masa yang sama ibu bapa juga boleh memantau dan terlibat sama semasa aktiviti Internet anak-anak.
Akhir sekali, ibu bapa mesti memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet. Janganlah terlalu mempercayai anak-anak kerana sikap tersebut akan membawa masalah kepada ibu bapa pada masa akan datang. Hal ini boleh dilihat dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul ‘Anakku Sazali’ yang berkisahkan seorang bapa yang terlalu mempercayai anaknya sehingga anaknya sanggup menipu dirinya.
Pemantauan terhadap penggunaan Internet oleh anak-anak mungkin sukar dilakukan kerana pada masa kini anak-anak telah mempunyai gajet peribadi seperti telefon pintar dan komputer riba. Namun, sebagai ibu bapa berminda kelas pertama dan arif berkaitan kemahiran Internet dan bertanggungjawab, mereka mampu mengesan penyalahgunaan Internet dalam kalangan anak-anak dengan memantau aktiviti penggunaan Internet.
Sebagaimana yang diperkatakan sebelumnya iaitu ibu bapa boleh melihat aktiviti Internet anak-anak pada bahagian ‘history’ atau sejarah enjin carian Internet, bukan sahaja dalam masa sehari, malah sepanjang masa. Tegasnya, ibu bapa mestilah memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet untuk kebaikan anak-anak, keluarga dan bangsa. – Agensi