Wednesday, March 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pantomim hari pahlawan tinggal kesan mendalam

    PUTRAJAYA – Pengalaman menjayakan watak anggota polis yang terkorban ketika Op Daulat, dalam pantomim bertajuk ‘Op Daulat Kampung Simunul’ meninggalkan kesan mendalam dan memilukan bagi Lans Koperal Rosli Baba.

    Menceritakan kembali perasaannya, Rosli yang membawa watak Sarjan Mejar Baharin Hamit berkata beliau seakan merasai kesakitan ditanggung Allahyarham Baharin yang dibelah perut dan kepala serta dicungkil mata ketika tragedi berdarah itu.

    “Arwah pergi meninggalkan kita dalam tragedi yang berlaku pada 2013. Apa yang menyedihkan usus dan hati arwah turut dikeluarkan dari tubuhnya.

    “Ini perasaan yang betul-betul menyayat hati sehingga saya tidak dapat menahan air mata ketika bawa watak arwah,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara di sini baru-baru ini.

    Rosli yang telah berkhidmat selama tujuh tahun di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kampar, Perak berkata perasaan ketika membawa watak tersebut merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit kerana ia melibatkan hati dan perasaan.

    Ibu bapa kepada Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban semasa Ops Daulat. – Gambar Bernama
    Persembahan pentomim Ops Daulat memperingati 10 tahun peristiwa pencerobohan Kampung Air Simunul di Semporna Sabah oleh Polis Di-Raja Malaysia di Dataran Pahlawan, Putrajaya. – Gambar Bernama
    Antara aksi persembahan yang dipamerkan semasa memperingati 10 tahun peristiwa pencerobohan Kampung Air Simunul di Semporna Sabah oleh Polis DiRaja Malaysia di Dataran Pahlawan, Putrajaya. – Gambar Bernama
    Antara persembahan pentomim Ops Daulat semasa Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. – Gambar Bernama

    Senada dengan Rosli, Inspektor Mohd Jefriazizul Mohamed, 35, berkata beliau bersama 150 anggota lain yang diberi amanah membawa watak masing-masing mengenai tragedi berdarah itu mengambil masa hampir sebulan berlatih di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, Perak.

    Mohd Jefriazizul diberi kepercayaan memegang watak ACP Shaiful Azmi Omar yang merupakan ketua pasukan penyelamat dalam Op Daulat.

    “Saya berasa bangga diberi amanah untuk pegang watak itu sekali gus dapat kenang detik perjuangan anggota yang terlibat dalam Op Daulat,” katanya yang telah berkhidmat selama lapan tahun dalam Pasukan 69 Komando di Ulu Kinta.

    Bapa kepada tiga orang anak itu berkata walaupun tragedi tersebut telah sedekad berlalu, perasaan ketika membawakan watak berkenaan seolah-olah beliau berada di lokasi kejadian.

    Katanya, perasaan berbaur antara sedih dan marah muncul ketika berada di pentas apabila melihat rakan seperjuangan ‘diserang’ dan ‘dibunuh’ secara kejam.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata persembahan pantomim pada sambutan Hari Pahlawan kali ini mendedahkan peristiwa tragedi berdarah di Kampung Air Simunul, Semporna, Sabah.

    Katanya, tragedi itu wajar didedahkan kepada umum bagi memperingati pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

    Pantomim bertajuk ‘Op Daulat Kampung Simunul’ hasil karya Hazani itu dipersembahkan oleh 150 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga pegawai serta anggota polis yang terkorban dalam tragedi berdarah itu.

    Linangan air mata mengiringi persembahan pantomim istimewa bagi memperingati 10 tahun insiden percerobohan Kampung Simunul semasa sambutan Hari Pahlawan baru-baru ini.

    Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah berkenan berangkat ke istiadat tersebut dilihat turut sedih dan terharu ketika menonton persembahan itu.

    Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah sehingga membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul, yang turut mengorbankan 68 pengganas Sulu.

    Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

    Enam anggota polis terkorban dalam kejadian berdarah di Kampung Simunul yang berlaku pada 2 Mac 2013, iaitu ACP Ibrahim Lebar, DSP Michael Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abdul Aziz Sarikon, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Mohd Azrul Tukiran. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda