Friday, September 20, 2024
35.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paolini tak percaya mara ke final

    PARIS, 7 JUN – Jasmine Paolini berkata dia tidak pernah bermimpi untuk mara ke final Grand Slam setelah menetapkan perlawanan akhir dengan penyandang juara, Iga Swiatek di Terbuka Perancis kelmarin.

    Pemain pilihan ke-12 dari Itali, Paolini menamatkan saingan pemain sensasi Rusia berusia 17 tahun, Mirra Andreeva pada separuh akhir, dengan kemenangan 6-3, 6-1 untuk mara ke final Grand Slam pertamanya pada usia 28 tahun.

    “Ia satu perasaan yang hebat untuk berada di final Grand Slam. Saya tidak tahu. Ia kelihatan mustahil tetapi ia benar,” kata Paolini dengan gembira.

    Ia adalah satu transformasi yang menakjubkan bagi seorang pemain yang tidak pernah melepasi pusingan kedua kejohanan utama sebelum permulaan tahun ini.

    Pemain nombor 15 dunia itu hanya memenangi empat perlawanan dalam 16 penampilan Grand Slam sebelum mencapai pusingan keempat Terbuka Australia pada Januari.

    Kini dia hanya tinggal satu kemenangan sahaja daripada gelaran yang mustahil di Roland Garros ketika dia cuba mengikuti jejak langkah rakan senegaranya, Francesca Schiavone, yang memenangi Terbuka Perancis 2010.

    “Saya menyaksikan pemain Itali lain berjaya mara ke pusingan akhir, dan juga memenangi Grand Slam, tetapi (untuk) membayangkan bahawa saya juga boleh melakukannya adalah sukar,” kata Paolini.

    “Sudah tentu, saya juga berharap, tetapi sekarang ia adalah sesuatu yang gila bagi saya. Saya sangat gembira. Juga terkejut.” – AFP

    Aksi Paolini semasa menentang Andreeva dalam perlawanan separuh akhir perseorangan wanita di Court Philippe-Chatrier, Paris pada 6 Jun 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda