Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pasangan mengaku bersalah abai kanak-kanak 7 tahun

    JOHOR BAHRU, 22 OKT – Seorang bapa dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Malaysia hari ini atas pertuduhan melakukan pengabaian terhadap anak kandungnya berusia tujuh tahun, sekitar Julai hingga 12 Oktober lepas.

    1. Thayalan, 37, dan K. Mageswari, 26, didakwa secara bersama dengan niat melakukan pengabaian  hingga menyebabkan kanak-kanak lelaki itu mengalami kekurangan zat makanan atau maltnutrisi. 

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Mageswari yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan mendedahkan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal di bahagian tangan kanan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama. 

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pulai Jaya di Johor Bahru.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Kohar dan S. Thiviya menawarkan wang jaminan RM15,000 setiap seorang, namun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu wang ikat jamin dikurangkan kerana mempunyai tanggungan anak kecil dan keluarga.

    Hakim Fatimah Zahari kemudian menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah turut menetapkan 21 November depan bagi tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes dan lantikan peguam. – Bernama

    Seorang bapa dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan pengabaian terhadap anak kandungnya berusia tujuh tahun, sekitar Julai hingga 12 Oktober lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...