Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Peranan pendidikan termasuk pendidikan agama semakin mencabar, oleh itu, semua yang berkenaan dalam bidang berkenaan hendaklah bersedia mendepani segala bentuk cabaran semasa.
Ini khasnya dalam memastikan sistem pendidikan agama sentiasa relevan bagi memenuhi hasrat serta keperluan negara kepada generasi berilmu, beriman dan beramal soleh.
Perkara tersebut disuarakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penghargaan Pelajar-pelajar dan Guru Cemerlang Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi 2019/2020, hari ini.
Pada majlis yang berlangsung di Dewan Bridex itu, Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan, sistem pendidikan agama juga perlu sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan perkembangan dan cabaran semasa.
Menurut beliau, berikutan dengan cabaran penularan COVID-19, beberapa strategi dan inisiatif telah diperkenalkan bagi memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan.
Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh KHEU berupa penyediaan platform pembelajaran dalam talian, yang disertai dengan penyediaan prasarana dan perkhidmatan bagi menyokong pembelajaran secara dalam talian.
Ini diikuti dengan bantuan peralatan komputer dan capaian Internet, selain mengadakan Program Pembelajaran Ugama melalui siaran televisyen dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB), Program Infaq Tarbiah Khas COVID-19 bagi persekolahan Arab dan agama serta penyediaan Pek Pembelajaran di Rumah.
“Semua inisiatif tersebut telah dapat membantu pelajar-pelajar untuk meneruskan pembelajaran dengan baik dan teratur,” jelasnya.
Walaupun berhadapan dengan cabaran itu, persekolahan Arab dan agama juga telah dapat meneruskan kecemerlangan khususnya dalam peperiksaan-peperiksaan awam di setiap peringkat sama ada peringkat rendah mahupun peringkat menengah.
Ini dapat dilihat melalui Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pada 2020, yang mencatat sebanyak 97.37 peratus pelajar sekolah Arab telah berjaya mencapai keputusan sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran.
Sementara itu, 39.77 peratus pelajar telah berjaya memperolehi gred 5A iaitu peningkatan sebanyak 9.74 peratus berbanding 2019.
Manakala itu, pencapaian bagi pelajar sekolah-sekolah Arab yang menduduki dua peperiksaan awam peringkat menengah iaitu Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan BC GCE O Level, juga menunjukkan peningkatan.
Ini berbanding pencapaian tiga tahun yang lalu di mana pelajar yang mencapai sekurang-kurangnya lima Jayyid dalam peperiksaan SPUB meningkat sebanyak 0.42 peratus.
Manakala itu, pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya lima O Level juga menunjukkan peningkatan yang signifikan sebanyak 19.74 peratus.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, ini membuktikan bahawa pelajar-pelajar yang bijak mengurus waktu pembelajarannya dengan baik dan membuat perancangan pembelajaran yang teratur, mampu mencapai keputusan yang baik.
Di samping itu, pencapaian tersebut juga telah menunjukkan usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan telah memberi impak yang positif terhadap pencapaian pelajar-pelajar berkenaan.
Sementara itu bagi peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU), ujar beliau, peratus murid yang lulus juga meningkat sebanyak 2.57 peratus berbanding tiga tahun yang lalu.
“Dengan pencapaian-pencapaian ini, kementerian akan terus memperkasa dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang digariskan di bawah objektif Strategi Pendidikan Ugama dan Arab Berkesan yang terdapat dalam Pelan Strategik KHEU Tahun 2020-2024,” jelasnya.