Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    PBB: 120 anak damit dalam inkubator berdepan risiko

    BAITULMAQDIS, 22 OKT – Sekurang-kurangnya 120 nyawa anak damit baru lahir berada dalam inkubator di hospital Gaza, yang dilanda peperangan berisiko berikutan kehabisan bahan api di kawasan terkepung itu, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

    Lebih daripada 1,750 kanak-kanak telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Sempadan Gaza sebagai balasan terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin.

    Hospital menghadapi masalah yang serius terutama kekurangan ubat, bahan api dan air bukan sahaja untuk ribuan yang cedera dalam lebih dari dua minggu perang antara tentera Gaza dan Israel tetapi juga untuk pesakit biasa.

    “Kami kini mempunyai 120 anak damit baru lahir yang berada dalam inkubator, di antaranya 70 anak damit dengan alat bantu pernafasan mekanikal dan itulah yang amat dibimbangkan,” kata jurucakap UNICEF, Jonathan Crickx.

    Kekurangan tenaga adalah salah satu kebimbangan utama bagi tujuh wad pakar di seluruh Gaza, yang merawat anak damit pramatang untuk bantuan pernafasan dan memberikan sokongan penting, misalnya apabila organ mereka belum berkembang sepenuhnya.

    Israel mengarahkan pengepungan sepenuhnya ke atas wilayah itu selepas serangan Hamas, di mana 1,400 orang terkorban, kebanyakannya warga awam, menurut pegawai Israel.

    Ketika pemotongan bekalan elektrik yang meluas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Khamis bahawa hospital-hospital telah kehabisan bahan api untuk penjana kuasa.

    WHO menyatakan bahawa kira-kira 1,000 orang yang memerlukan dialisis juga akan berisiko jika penjana berhenti berfungsi. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...