PARIS, 1 APRIL – Pemimpin tiga agensi global mengingatkan hari ini tentang risiko berlakunya ‘kekurangan makanan’ di seluruh dunia sekiranya pihak berkuasa gagal mengendalikan krisis koronavirus dengan betul.
Kebanyakan kerajaan di seluruh dunia telah mengenakan perintah berkurung ke atas penduduk mengakibatkan kemelesetan teruk dalam perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan makanan.
Pembelian panik oleh orang awam telah pun menunjukkan kelemahan rantaian bekalan tatkala rak di pasar raya dikosongkan di kebanyakan negara.
“Ketidakpastian mengenai bekalan makanan boleh mencetuskan sekatan eksport, sekali gus mewujudkan kekurangan di pasaran global,” kata teks bersama yang ditandatangani oleh Qu Dongyu, ketua Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Tedros Ghebreyesus, pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Roberto Azevedo, pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
“Di tengah perintah berkurung COVID-19, setiap usaha mesti dilakukan untuk memastikan aliran perdagangan yang bebas, terutamanya untuk mengelak kekurangan makanan daripada berlaku, kata mereka dalam kenyataan.
“Apabila bertindak untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat mereka, negara-negara harus memastikan mana-mana langkah berkaitan perniagaan tidak menjejas rantaian bekalan makanan,” tambah mereka.
Perintah berkurung dan sekatan perjalanan dalam tempoh lebih lama menimbulkan risiko gangguan dalam pengeluaran pertanian disebabkan kekurangan pekerja pertanian dan kegagalan menghantar makanan ke pasaran.
“Gangguan sedemikian termasuk mengekang pergerakan pekerja industri perladangan dan makanan dan melanjutkan penutupan sempadan akan menangguh kontena makanan, membawa kepada kerosakan produk yang tidak tahan lama dan menambah pembaziran makanan,” kata ketiga-tiga pemimpin.
Mereka juga menekankan keperluan melindungi pekerja yang terlibat dalam penghasilan, pemprosesan dan pengagihan makanan, untuk kesihatan mereka sendiri dan orang lain, serta untuk mengekal rantaian bekalan makanan.
“Kami mesti memastikan respons kami terhadap COVID-19 tidak menimbulkan kekurangan barangan asas dan memburukkan kelaparan dan pemakanan tak seimbang.” – AFP