KUALA LUMPUR, 2 Okt – Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) telah menjual 50 peratus kepentingannya dalam PRPC Polymers kepada Aramco Overseas Holdings, anak syarikat milik penuh Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) pada harga US$900 juta atau RM3.8 bilion, sekali gus menjadikan pembeli sebagai rakan usaha sama yang saksama dalam sebuah projek integrasi.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, PCG berkata ini akan memberi impak aliran tunai yang positif dengan mengurangkan komitmen perbelanjaan modal susulan pembabitan 50 peratus Saudi Aramco dalam PRPC Polymers yang masih dalam fasa pembinaan dengan risikonya terus ada sehingga projek siap pada 2019.
“Ia juga akan memberi PCG keanjalan kewangan untuk meneruskan projek pertumbuhan strategik lain,” katanya.
PCG juga akan dapat memanfaatkan pengalaman Saudi Aramco dalam memulakan, pelaksanaan dan operasi projek petrokimia berskala besar dan berbentuk integrasi seperti Sadara Chemical Company.
“Penjualan itu akan memberi PCG potensi peluang untuk meneruskan usaha sama strategik pada masa depan dengan Saudi Aramco,” kata kenyataan itu.
Menurut PCG, hasil penjualan itu akan digunakan bagi perbelanjaan modal dan operasi serta projek pertumbuhan strategik selaras dengan rancangan perniagaannya.
Kegiatan utama PRPC Polymers adalah membangunkan, membina, melaksanaan dan pengoperasian polimer dan tumbuhan glikol untuk penghasilan serta penjualan produk. – Bernama