Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Pecah masuk: Lelaki dihukum penjara, sebat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun berserta tiga sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, setelah mengaku bersalah memecah masuk rumah.

    Terdahulu, Mohamad Fairuz bin Awang Muda, warga tempatan berusia 35 tahun, Roslee bin Abd Hamid, penduduk tetap berusia 40 tahun, dan Noorazlan bin Anuar, warga tempatan berusia 38 tahun menghadapi pertuduhan bersama bagi pecah rumah pada waktu malam di Jalan Nakhoda Manis, Seria untuk melakukan pencurian, antara 25 dan 26 Julai.

    Mohamad Fairuz mengaku bersalah, manakala Rosli dan Noorazlan meminta untuk dibicarakan.

    Noorazlan yang merupakan bekas anggota polis, menghadapi pertuduhan tambahan cuba melarikan diri daripada tahanan polis Seria pada 14 Ogos di mana dia telah ditahan secara sah atas kesalahan pecah rumah pada waktu malam, dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan tirai Balai Polis Seria pada 14 Ogos, dan kerana merosakkan lampu siling pendarfluor sel polis balai sama pada 16 Ogos, dan menyimpan rangka basikal secara tidak jujur ​​antara 7 Julai dan 14 Ogos.

    Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud memaklumkan mahkamah bahawa pada pagi 29 Julai, seorang wanita yang baru pulang dari Australia melawat abangnya di Jalan
    Nakhoda Manis, di Seria dan tiba di rumah itu kira-kira 10:33 pagi, hanya untuk mendapati bahawa rumah tersebut telah digeledah.

    Dia kemudian menghubungi abangnya yang mengarahkannya membuat laporan polis.

    Selepas memeriksa rakaman kamera tersembunyi dari tingkat satu rumah, tiga orang dilihat berkeliaran di dalam rumah melepasi tengah malam pada 26 Julai. Siasatan polis membawa kepada penahanan Mohamad Fairuz.

    Semasa siasatan polis, Mohamad Fairuz turut mengakui bahawa semasa pecah masuk, dia telah mencuri beberapa lampu suluh, teleskop, sepasang sarung tangan, pendrive, sepasang kasut Nike Air Jordan, sebuah iPhone 5 dan wang tunai $50.

    Sementara itu, Noorazlan mengaku bersalah menyebabkan kerosakan pada lampu siling sel Balai Polis Seria semasa dia ditahan.

    Pendakwa Raya Sabrina memaklumkan mahkamah bahawa pada petang 16 Ogos, selepas kembali daripada sebutan kes di Mahkamah Majis-tret, Kuala Belait, dia ditempatkan di sel Balai Polis Seria, di mana kira-kira 3:45 petang dia bertindak agresif dengan memanjat palang tingkap sel atas, dan memukul lampu siling pendarfluor menggunakan tangan, menyebabkannya pecah ke lantai sel. Memandangkan dia mengalami kecederaan
    akibat perbuatan itu, dia dibawa ke  Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait untuk menerima rawatan.

    Bagaimanapun, Noorazlan telah menafikan tuduhan lain pecah rumah pada waktu malam, cuba melarikan diri daripada tahanan polis, menyebabkan kerosakan pada tirai Balai Polis Seria, dan menyimpan harta benda secara tidak jujur.

    Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar telah menangguhkan kes terhadap kedua-dua mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...