Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pedang Napoleon akan dilelong di Paris

    PARIS, 27 APRIL – Sebilah pedang yang pernah dimiliki oleh Napoleon dan ditempah khas untuk kegunaan peribadi maharaja Perancis itu akan dilelong di Paris bulan depan, kata rumah lelong.

    Napoleon menempah pedang itu pada tahun 1802 dan menyimpannya sepanjang pemerintahannya.

    Firma lelongan Giquello berkata pada Jumaat mereka menjangkakan pedang itu akan mencecah antara 700,000 hingga satu juta euro (AS$800,000 sehingga AS$1.1 juta) apabila ia dilelong di Paris pada 22 Mei.

    Napoleon menyerahkan pedang itu kepada sekutunya yang rapat, Emmanuel de Grouchy, yang telah dilantik oleh maharaja Perancis itu sebagai marsyal terakhir empayar.

    Pedang itu berada dalam simpanan keluarga Grouchy sejak 1815, tahun kekalahan terakhir Napoleon di Pertempuran Waterloo.

    Satu salinan kedua, yang serupa dengan pedang ini dan juga ditempah oleh Napoleon, disimpan di Muzium Hermitage di Saint Petersburg, Rusia.

    Barangan memorabilia Napoleon sering dijual semasa lelongan di Perancis dalam perdagangan yang berkembang pesat dengan minat tinggi daripada pengumpul.

    Dua pistol yang pernah beliau niatkan untuk digunakan bagi membunuh dirinya telah dijual di Perancis pada bulan Julai lalu dengan harga 1.7 juta euro.

    Manakala salah satu topi ‘bicorne’ yang terkenal milik Napoleon mencatatkan harga rekod apabila dibeli dengan harga 1.9 juta euro pada November 2023.

    Sebuah surat tulisan tangan daripada Napoleon yang menafikan peranannya dalam penculikan Paus Pius VII pada tahun 1809 akan dilelong hujung minggu ini di luar Paris dan dijangka mencapai antara 12,000 hingga 15,000 euro. – AFP

    Pedang terakhir yang dimiliki oleh Maharaja Perancis Napoleon dilihat di Hotel Drouot di Paris pada 25 April. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda