Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajar ditahan atas tuduhan membunuh di Colorado

    DENVER, 20 FEB – Seorang pelajar ditahan kelmarin atas tuduhan membunuh berhubung kes tembakan dua orang yang ditemui mati di bilik asrama minggu lalu di Universiti Colorado-Colorado Springs, kata polis.

    Jabatan Polis Colorado Springs berkata mereka menangkap Nicholas Jordan, 25, tanpa insiden atas dua pertuduhan pembunuhan darjah pertama. Jordan merupakan seorang pelajar di sekolah itu ketika kejadian, kata jurucakap universiti Jenna Press. Mangsa dikenal pasti sebagai Celie Rain Montgomery, 26, dan Samuel Knopp, 24, pelajar universiti yang terletak kira-kira 69 batu ke selatan Denver. Montgomery tidak didaftarkan pada masa ini.

    Selepas mendapatkan waran tangkap, unit kecurian kenderaan bermotor polis menemui Jordan di dalam kereta dan unit penguatkuasaan taktikal menahannya di Colorado Springs, umum polis di X.

    Tembakan pada Jumaat nampaknya insiden yang berasingan’ antara individu yang saling mengenali, bukan serangan secara rambang di sekolah, kata polis. Walaupun pejabat siasatan kematian akan menentukan bagaimana mereka mati, setiap mangsa ditembak sekurang-kurangnya sekali, kata polis sebelum ini.

    Jabatan polis dihubungi awal pagi Jumaat mengenai tembakan yang dilepaskan dari asrama universiti, Creston House, di mana mereka mendapati kedua-duanya sudah mati.

    Perintah berkurung di seluruh kampus telah dikeluarkan selama 90 minit selepas tembakan, dan universiti itu tetap ditutup sehingga hujung minggu. Kelas kelmarin telah dibatalkan manakala sekolah menawarkan kaunseling tanpa temujanji. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda