Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Pusat Sejarah Brunei (PSB) akan dilancarkan sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei pada 9 Februari ini, jam 9:30 pagi, di Pusat Pengkajian Borneo, Anggerek Desa.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Timbalan Pengetua PSB, Awang Hanafi bin Haji Salleh pada sidang media bagi Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei sempena 41 tahun penubuhan PSB, yang diadakan hari ini, di Bilik Musyawarah, pusat tersebut, di ibu negara.
Menurut Awang Hanafi, pelancaran PSB sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei pada tahun 2023 sesuai dengan usia PSB yang kini telah mencapai empat dekad.
Inisiatif Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Tindakan PSB 2021-2024 selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 2020-2024.
Majlis pelancaran tersebut akan diteruskan dengan perasmian bilik rujukan khas sumber sejarah dan kesultanan Brunei yang dikenali sebagai Bilik Koleksi Sumber Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri.
“Penubuhan bilik koleksi sumber ini adalah untuk menjadi nilai tambah yang dapat menambah dan meningkatkan lagi kemudahan dan fasiliti perkhidmatan rujukan dan kajian di PSB khususnya sejarah dan kesultanan Brunei,” jelas Timbalan Pengetua PSB.
Menurutnya lagi, bilik koleksi sumber itu juga dihasratkan untuk mendekatkan masyarakat dengan sejarah tanah air serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi pewaris untuk meneruskan legasi seorang tokoh sejarawan negara dalam mengakas dan memberigakan sejarah dan kesultanan negara.
PSB berharap bilik koleksi sumber tersebut akan dapat menjadikan PSB sebagai destinasi pilihan bagi institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta serta agensi kerajaan untuk mendapatkan rujukan dan sumber mengenai sejarah dan kesultanan Brunei ke arah meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang persejarahan negara.