Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagai pihak meriahkan Hari Kebangsaan

    Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D & Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara hari ini telah melibatkan pelbagai pihak daripada kakitangan awam, swasta, persatuan-persatuan dan sebagainya dalam sama-sama menunjukkan semangat patriotisme kepada negara yang dicintai ini.

    Turut menyertai perbarisan dalam upacara berkenaan adalah ahli-ahli pengawasan kejiranan yang melibatkan seramai 200 orang dengan diketuai oleh Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, DSP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman.

    Pada masa ini keahlian pengawasan kejiranan adalah seramai 1,674 orang ahli dari 108 buah kampung.

    Pasukan Polis Diraja Brunei mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai pengawasan kejiranan terutama sekali para belia sesuai dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’ dan juga Wawasan 2035 yang menjurus kepada keselamatan di tempat awam.

    Selain itu, 25 orang pegawai pangkat rendah wanita dan tiga orang pegawai wanita Jabatan Penjara turut tidak ketinggalan dalam memeriahkan upacara berkenaan.

    Seramai 200 ahli pengawasan kejiranan ikut serta dalam perbarisan Hari Kebangsaan ke-33.
    Seramai 200 ahli pengawasan kejiranan ikut serta dalam perbarisan Hari Kebangsaan ke-33.
    Seramai 118 kakitangan TelBru yang ikut serta dalam perbarisan tersebut.
    Seramai 118 kakitangan TelBru yang ikut serta dalam perbarisan tersebut.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Penjara, Koperal Siti Habibah binti Haji Mahbub berkata, sebagaimana tahun-tahun lalu mereka merasa bangga kerana dapat menyertai perbarisan berkenaan demi perasan sayang kepada negara, agama dan bangsa.

    “Kemeriahan pada tahun ini amat menarik perhatian juga, melihat para pelancong dan warga asing yang berada di sepanjang jalan berebut-rebut mengambil gambar dan selfie sepertinya Hari Kebangsaan kita ini adalah hari kebesaran mereka juga. Saya pastinya akan merasa malu dan rugi andai saya tidak komited untuk meraikan tanggal 23 Februari setiap tahun,” ujarnya.

    Perbarisan lalu dari Jabatan Penjara disertai oleh 157 orang anggota yang diketuai oleh Penguasa Penjara Pengiran Haji Mohd Bahrin bin Pengiran Haji Mohd Jamaluddin.

    Seramai 25 orang ahli Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) yang diketuai oleh Setiausaha/Ketua Urus Setia, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali juga menyertai perbarisan berkenaan yang merupakan penyertaan kali kedua sejak penubuhan SUKA, yang mana persatuan berkenaan mengikuti perbarisan bersama pasukan dari Jabatan Daerah Tutong  selaku ‘indung’ kepada SUKA.

    Dengan penyertaan perbarisan kali ini, ia merupakan satu pencapaian dan penghormatan serta pembakar semangat kepada ahli-ahli sukarelawan untuk terus berbakti kepada negara dan masyarakat sesuai dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’ dan penyertaan ini diharap akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.

    Persatuan Sindrom Down (ABLE) yang ikut serta dalam perbarisan lalu tersebut.
    Persatuan Sindrom Down (ABLE) yang ikut serta dalam perbarisan lalu tersebut.

    Salah sebuah syarikat swasta yang menyertai perbarisan berkenaan adalah Telekom Brunei Berhad (TelBru) yang diwakili oleh seramai 118 orang kakitangannya dan diketuai oleh Ketua Pegawai Kewangan, Dayang Nurbahriah Eliza binti Abdullah dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat, Hajah Rosmawati binti Haji Abdul Manaf.

    Para peserta terdiri daripada 83 kakitangan lelaki dan 35 wanita termasuk kakitangan veteran, petugas baru dan yang akan bersara.

    Mereka yang telah menyertai latihan dan raptai menunjukkan semangat patriotisme dengan memberi komitmen kepada sokongan Visi 2035, antara lain menghargai penyertaan sumber manusia dalam pembangunan negara.

    Turut tidak ketinggalan menyertai upacara penting bagi Negara Brunei Darussalam itu adalah Persatuan Sindrom Down (ABLE) yang mana ini merupakan kali ketiga mereka ikut serta sejak tahun 2015.

    Perbarisan persatuan berkenaan melibatkan seramai 53 orang terdiri daripada individu yang lahir dengan Sindrom Down, ibu bapa dan ahli keluarga dengan diketuai oleh Yang Di-Pertua ABLE, Dayang Siti Zaliha binti Haji Abu Salim.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan persatuan itu, walaupun hujan turun dengan lebat pada acara perarakan, ia tidak menghalang mereka daripada meneruskan perarakan, malah mereka cukup gembira dan dapat menamatkan perarakan hingga ke penghujung.

    Ini merupakan salah satu cara mereka mendidik dan menanamkan semangat kebangsaan dalam jiwa anak-anak mereka dan turut menyatakan harapan untuk menyertai acara seumpamanya tahun depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda