BAITULMAQDIS, 1 APRIL – Penyelidik Israel menghasilkan pelekat unik yang dipasang pada topeng muka pembedahan untuk melindungi kakitangan hospital daripada virus COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut pasukan penyelidik Institut Teknologi Israel (Technion) dan Pusat Teknologi Koronavirus Kebangsaan di Kementerian Pertahanan Israel, topeng muka yang ditambah baik itu berupaya mengurangkan kadar jangkitan.
Dihasilkan menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi, pelekat itu mengandungi gentian nanometrik yang disalut dengan bahan penyahjangkit, meningkatkan keupayaan memerangkap zarah halus dan berkesan meneutralkan virus yang terkena pada topeng.
Pelekat unik itu sudah mendapat kelulusan awal Kementerian Kesihatan Israel dan ujian lanjut keberkesanannya akan dijalankan dalam waktu terdekat di Pusat Perubatan Galilea. – Bernama