PARIS, 13 NOV – Pelepasan karbon dioksida (CO2) dari minyak, gas dan arang batu yang menyumbang kepada pemanasan global mencatat rekod baharu tahun ini, menurut penyelidikan awal hari ini yang mendapati tiada petanda dunia sedang beralih daripada bahan api fosil.
Negara-negara yang berhimpun di Azerbaijan bagi Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berikrar untuk beralih daripada bahan api fosil dan berusaha mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius berbanding era pra industri.
Bagi mencapai sasaran itu, pencemaran CO2 global perlu dikurangkan dengan ketara dalam dekad ini. Namun, penemuan terbaharu dari rangkaian saintis antarabangsa di Projek Karbon Global menunjukkan pelepasan minyak, gas dan arang batu terus meningkat.
Kajian itu mendedahkan bahawa bagi mengekalkan sasaran 1.5 darjah Celsius, dunia perlu mencapai sifar bersih pelepasan CO2 menjelang akhir 2030an, lebih awal daripada yang dirancang kebanyakan negara.
Walaupun tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik membantu mengurangkan penggunaan bahan api fosil, peningkatan pelepasan gas dan minyak mendorong pelepasan bahan api fosil global meningkat tahun ini.
Pengarah Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Iklim Antarabangsa, Oslo, Glen Peters, menyifatkan dunia kini ‘amat hampir’ mencapai kemuncak pelepasan bahan api fosil.
“Penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik berkembang pesat, namun itu masih belum mencukupi,” katanya kepada wartawan, sambil menambah sebarang kemuncak dalam pelepasan hanya dapat dipastikan selepas data beberapa tahun.
Penemuan awal menunjukkan pelepasan CO2 global daripada bahan api fosil meningkat 0.8 peratus tahun ini berbanding tahun lepas, mencapai rekod 37.4 bilion tan.
Penyelidikan itu berdasarkan angka bulanan dan unjuran sehingga akhir tahun dan ia mungkin sedikit lebih tinggi atau rendah berbanding yang dikeluarkan sekarang. – AFP