Friday, January 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelihara Iman dengan pelajari Al-Quran dan hadis

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Allah menciptakan manusia dengan tujuan untuk beribadah kepadanya, manusia sepanjang hidup akan diuji untuk menentukan untung nasibnya di dunia dan di akhirat kelak.

    Bagi memastikan diri berjaya dalam menghadapi ujian yang diberikan itu, manusia harus memiliki iman dan takwa agar dapat terus menjalankan tanggungjawab dan mampu menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.

    Khatib menegaskan perkara itu semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini bertajuk Amalan menambah Keimanan dan seterusnya menjelaskan yang manusia yang hidup tanpa iman boleh diibaratkan seperti rumah tanpa asas yang kukuh, ia mudah roboh dan tidak mampu melindungi penghuninya.

    Tetapi iman yang kental dan kuku akan melindungi manusia dari segala macam kesesatan, kelemahan dan pelbagai bencana lainnya sepanjang mengharungi kehidupan.

    Tanpa iman, manusia tidak akan dikurniakan keredhaan dan petunjuk daripada Allah, hanya dengan iman, manusia mampu mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat,” tegasnya.

    Khatib seterusnya menekankan, manusia adalah makhluk yang sering lalai dan lupa, kerana itulah keimanan boleh berkurang dan bertambah.

    Bagi memastikan iman terus kekal pada kedudukannya yang terbaik, serta bagi meningkatkan keimanan diri, antara kaedah dan cara yang boleh diamalkan dengan mempelajari ilmu agama bersumberkan Al-Quran dan hadis.

    Ini seperti memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan menghayati maknanya, mempelajari Asmaul Husna, mempelajari sirah nabawiyah, mempelajari nilai agama Islam, mempelajari kehidupan para sahabat Rasulullah SAW, para tabiin dan seumpamanya.

    Khatib seterusnya menjelaskan bahawa Al-Quran merupakan mukjizat teragung Rasulullah SAW, yang mengandungi segala rahsia ilmu dan pengajaran yang boleh diambil sesuai dengan keperluan manusia yang sedang mencari tuhannya.

    Sebahagian ayat Al-Quran mampu menggetarkan hati dan membuatkan seseorang menangisi segala dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan, lalu memberikan ketenangan hati kepadanya,” jelasnya.

    Apabila seseorang memahami sifat Allah yang Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui, maka ia akan menahan lidahnya, anggota tubuhnya dan gerak hatinya dari segala yang tidak sukai Allah.

    Ini sama juga apabila seseorang memahami sifat Allah yang Maha Indah, Maha Agung dan Maha Perkasa, maka semakin besarlah keinginan untuk bertemu Allah pada hari akhirat sehingga bersungguh-sungguh memenuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangannya dan memperbanyakkan amal ibadah.

    Khatib dalam Khutbahnya turut menjelaskan, ianya sama juga dengan mempelajari sirah nabawiyah iaitu dengan memahami perilaku dan keperibadian, keagungan dan perjuangan Rasulullah SAW, akan menumbuhkan rasa kasih dan cinta terhadap Baginda.

    Kecintaan kepada Baginda pula, jelas Khatib, kemudian berkembang menjadi keinginan untuk mencontohi keperibadian dan mematuhi segala nasihat dan sunnah yang ditinggalkannya.

    “Jelaslah mengasihi Rasulullah SAW adalah salah satu jalan menuju syurga, dan membaca Riwayat hidup (sirah) adalah cara terpenting untuk lebih mudah memahami dan mencintai Baginda.”.

    Sesungguhnya mempelajari nilai-nilai agama Islam, tambah Khatib, dengan mencintai syariat Islam, hukum-hukum, akhlak yang diajarkan, perintah dan larangannya akan menimbulkan kekaguman terhadap kesempurnaan agama Islam.

    Begitu juga dengan merenung tanda-tanda kebesaran Allah yang ada di sekeliling kita, tegas Khatib, dan renunglah kejadian alam sesungguhnya kita perlu yakin ada kekuatan luar biasa yang mampu menciptakan alam yang sempurna ini.

    “Di dalamnya terbina sebuah struktur dan sistem kehidupan yang rapi dan lengkap,” tegasnya.

    Di samping itu, jelas Khatib, kita hendaklah berusaha keras melakukan amal perbuatan yang baik secara Ikhlas, lakukan pembersihan hati dari sifat buruk dan selalu menjaga kesuciannya.

    Miliki sifat Mahmudah seperti sabar, tawakal, takut kepada Allah, dan jauhi sifat Mazmumah seperti tamak, kikir, berprasangka buruk dan sebagainya.

    Banyakkan amalan zikir, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, istighfar, bersalawat ke atas Rasulullah SAW dan mengajak orang lain kepada kebaikan serta melarang kemungkaran, istiqamah dalam mengerjakan fardhu ain dan fardhu kifayah.

    “Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa beriman dan bertakwa, memiliki hati yang tenang dan tenteram, berbahagian dan berjaya di dunia hingga di akhirat yang kekal abadi,” jelasnya.

    Pelihara Iman dengan pelajari Al-Quran dan hadis/ – Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda