Wednesday, December 4, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelihara keindahan kraf temari Jepun

    KAWARAMACHI, JEPUN – Masa seakan terhenti di sini.

    Kaum wanita duduk dalam bulatan kecil, dengan diam dan tenang, bersusah payah menjahit corak pada bola sebesar limau, satu jahitan pada satu masa.

    Di tengah-tengah bulatan adalah Eiko Araki, seorang ahli Sanuki Kagari Temari, kraf tradisional Jepun yang diturunkan selama lebih daripada 1,000 tahun di pulau barat daya Shikoku.

    Setiap bola, atau ‘temari,’ merupakan karya seni, dengan corak geometri berwarna-warni yang membawa nama puitis seperti ‘bunga kelip-kelip’ dan ‘bintang berlapis-lapis.’ Bola temari mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk selesai. Ada yang berharga ratusan dolar (berpuluh ribu yen), walaupun yang lain adalah jauh lebih murah.

    Bola yang sering berubah ini bukan untuk membaling atau menendang. Ia dicipta untuk dijadikan pusaka, membawa doa untuk kesihatan dan kebaikan. Bola-bola tersebut mungkin dihargai seperti lukisan atau arca di rumah Barat.

    Bola Sanuki Kagari Temari diletak dalam kotak hadiah di studio Eiko Araki di Kawaramachi, wilayah Kagawa, Jepun. – AP
    Eiko Araki, pakar kraf tradisional Jepun Sanuki Kagari Temari, bercakap kepada The Associated Press di studionya. – AP
    Seorang pekerja menjahit temari di Sanuki Kagari Temari di Kawaramachi, wilayah Kagawa, Jepun. – AP
    Benang kapas yang digunakan untuk menghasilkan kraf temari digantung untuk dikeringkan. – AP
    Benang kapas pelbagai warna yang digunakan untuk menghasilkan kraf temari. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Konsep di sebalik temari adalah duniawi yang elegan, kecantikan yang tidak praktikal yang juga memerlukan tenaga kerja yang intensif untuk dicipta.

    “Dibentuk dari asas, sesuatu yang indah ini dilahirkan dan membawa kegembiraan,” kata Araki. “Saya mahu ia dikenang bahawa ada perkara yang indah di dunia ini yang hanya boleh dibuat dengan tangan.”

    BAHAN SEMULA JADI

    Wilayah tempat temari berasal adalah subur untuk menanam kapas, iklim panas dengan sedikit hujan, dan ciptaan sfera itu terus dibuat daripada bahan sederhana.

    Di studio Araki, yang juga berfungsi sebagai ibu pejabat untuk masyarakat pemeliharaan temari, terdapat 140 warna benang kapas, termasuk merah jambu dan biru muda, serta warna yang lebih terang dan semua peringkatan atau perubahan warna di antaranya.

    Wanita-wanita berkenaan mewarnakannya dengan tangan, menggunakan tumbuhan, bunga dan bahan semula jadi lain, termasuk pewarna merah, pepijat yang hidup dalam kaktus yang menghasilkan pati warna merah. Warna nila yang lebih dalam dicelup berulang kali untuk bertukar menjadi hitam.

    Kuning dan biru digabungkan untuk membentuk warna hijau yang cantik. Jus soya ditambah untuk menjadi warna lebih gelap, sejenis protein organik.

    Di luar studio, gelungan benang kapas, dalam pelbagai warna kuning hari ini, tergantung di luar di bawah tempat teduh untuk dikeringkan.

    MENCIPTA DAN MENYULAM BOLA

    Proses yang sukar itu bermula dengan membuat acuan bola asas di mana jahitan dilakukan. Sekam padi yang dimasak dan kemudian dikeringkan diletakkan di dalam sekeping kapas, kemudian digulung dengan benang, berulang kali, sehingga, secara ajaib, sebiji bola muncul di tangan awda.

    Seterusnya, mereka akan memulakan kerja-kerja menjahit.

    Bola itu sangat keras, jadi setiap jahitan memerlukan gerakan atau tekanan yang kuat, agak menyakitkan. Motif mestilah tepat dan sekata.

    Setiap bola mempunyai garisan untuk membimbing jahitan – yang mengelilinginya seperti garisan khatulistiwa, dan yang lain bengkang-bengkok ke atas dan bawah.

    MENARIK KEPADA GENERASI BAHARU

    Hari ini, temari mendapat pengiktirafan baharu dalam kalangan orang Jepun dan juga warga asing. Caroline Kennedy mempelajari membuat bola ketika dia menjadi duta Amerika Syarikat ke Jepun sedekad lalu.

    Yoshie Nakamura, yang mempromosikan seni kraf tangan Jepun di kedai bebas cukainya di lapangan terbang Haneda Tokyo, berkata dia memperkenalkan temari di sana kerana reka bentuknya yang rumit dan halus.

    “Temari yang mungkin berada pada era dahulu kini digunakan untuk hiasan dalaman,” katanya.

    “Saya benar-benar merasakan setiap Sanuki Kagari Temari bercakap tentang kewujudan yang istimewa, satu-satunya di dunia.”

    Araki telah menghasilkan beberapa reka bentuk baharu yang terasa moden dan bersejarah.

    Dia cuba menjadikan bola itu lebih mudah diakses untuk kehidupan seharian – contohnya, sebagai perhiasan pokok Krismas. Tali dengan bola kecil berjuntai, walaupun agak sukar dibuat kerana saiznya, mampu dibeli pada kira-kira 1,500 yen (AS$10) setiap satu.

    Satu lagi ciptaan Araki adalah kelompok bola pastel yang boleh buka dan tutup dengan magnet kecil. Isikannya dengan herba berbau harum sebagai sejenis diffuser aromatik.

    SATU TRADISI TURUN TEMURUN

    Araki, seorang wanita anggun yang bercakap dengan lembut, dengan kepalanya menelengkan seolah-olah sedang berfikir, sering pergi ke Tokyo untuk mengajar. Tetapi kebanyakan masa dia bekerja dan mengendalikan kursus di studionya, sebuah tadika terbiar dengan cat biru pudar dan tingkap besar dengan bingkai kayu yang usang.

    Dia bermula sebagai artis karya logam. Ibu bapa kepada suaminya adalah pakar temari yang bekerja keras untuk menghidupkan semula bentuk seni itu ketika ia semakin merosot pada zaman moden, berisiko pupus.

    Dia masih terkenang mereka adalah orang yang tabah, jarang memberi pujian dan sebaliknya sentiasa memarahinya. Ia merupakan pendekatan kasih sayang yang tegar yang lazim berlaku dalam penurunan banyak seni tradisional Jepun, daripada lakonan Kabuki kepada muzik hogaku, yang menuntut komitmen seumur hidup.

    Hari ini, hanya beberapa orang, semuanya wanita, boleh membuat bola temari mengikut piawaian tradisional.

    “Aspek yang paling mencabar adalah memupuk pengganti. Ia biasanya mengambil masa lebih 10 tahun untuk melatih mereka, jadi awda memerlukan orang yang sanggup meneruskan kraf itu untuk masa yang sangat lama,” kata Araki.

    “Apabila orang mula merasakan kegembiraan bersama dengan kesusahan yang datang dengan pembuatan temari, mereka cenderung meneruskan tradisi itu.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda