Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelihara warisan budaya ASEAN melalui forum

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Kira-kira 145 orang dari 20 buah universiti anggota Rangkaian Universiti-universiti ASEAN (AUN) termasuk tujuh rakan kongsi dari negara-negara ASEAN +3 menyertai Forum Kebudayaan Belia ASEAN ke-19 dan ASEAN +3 ke-9 yang mengetengahkan tema Mendepan Bersama ke Arah Kelestarian Seni dan Budaya.

    Majlis perasmian forum berkenaan telah diadakan kelmarin di Dewan Bankuet BRIDEX di mana hadir untuk menyempurnakan perasmian ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Haji Ahmad.

    Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Pengarah Eksekutif AUN, Dr Choltis Dhirathiti, perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN dan ASEAN +3, jemputan khas serta para peserta forum.

    Dalam ucapan alu-aluannya, pengerusi bersama forum itu dan Timbalan Dekan II, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UBD, Dr Haji Rozaiman bin Haji Makmun menyatakan bahawa UBD amat teruja untuk memulakan Forum Kebudayaan Belia tahunan berkenaan dengan mengetengahkan seni kolaboratif dan persembahan kebudayaan kebangsaan dari setiap negara yang mengambil bahagian.

    Beliau menyatakan bahawa penerapan kualiti seperti kesetiaan kepada warisan budaya ke dalam aktiviti-aktiviti forum berkenaan, para peserta bukan sahaja akan memperoleh kefahaman dan penghargaan yang lebih mendalam mengenai kekayaan budaya ASEAN dan rakan-rakan kongsinya tetapi juga membangunkan kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk menjadi pemimpin efektif dalam pemuliharaan budaya.

    ATAS & BAWAH : Persembahan kebudayaan menyerikan lagi pembukaan majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara yang menghadiri forum perasmian majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Forum itu, tambahnya, merupakan sebuah platform bagi memupuk duta-duta kebudayaan masa hadapan yang komited dalam memastikan seni dan budaya terus maju serta berubah dalam menghadapi cabaran-cabaran moden.

    Sementara itu, Dr Choltis Dhirathiti dalam ucapan alu-aluannya berkata, forum kebudayaan belia itu bukan sahaja memainkan peranan signifikan dalam memelihara warisan kebudayaan rantau kita tetapi juga untuk terus membangunkan dan memelihara warisan seni kita.

    Forum selama enam hari dari 23 hingga 28 Jun yang dikendalikan oleh UBD merupakan sebahagian daripada inisiatif beliau AUN di mana ia bermatlamat untuk mengetengahkan inti pati warisan budaya ASEAN dan impaknya kepada memupuk kefahaman serta penghargaan yang lebih besar kepada konsep ASEANness.

    Ia menjadi sebuah platform dinamik bagi meraikan persamaan dan kepelbagaian dalam rantau ASEAN+3 menerusi dialog bermakna yang berpusat kepada pengalaman kebudayaan dan artistik.

    Acara tahunan berkenaan ditubuhkan sejak 2003 bersama universiti-universiti anggota AUN daripada 10 buah negara anggota ASEAN dan dikembangkan kepada ASEAN+3 dengan delegasi dari China, Jepun dan Korea pada 2012.

    Program itu menawarkan campuran yang kaya pengalaman kebudayaan termasuk bengkel komunikasi merentas budaya, kepimpinan dan pembangunan kemahiran artistik dalam bidang-bidang seperti seni mempertahankan diri Brunei, teater, muzik tradisional dan sesi mengenai kepelbagaian bahasa.

    Program juga meliputi pelbagai aktiviti termasuk kuliah akademik, lawatan kampus, Bazar Kebudayaan dan Seni ASEAN, lawatan sosial dan pendidikan, pengembaraan serta bengkel.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda