Tuesday, May 21, 2024
33.2 C
Brunei

    -

    Peluang eratkan hubungan silaturahim

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Seperti lazimnya, Aidilfitri diraikan bersama orang yang tersayang dan apabila tibanya hari raya, hampir setiap orang akan menziarahi rumah ibu bapa.

    Ibu bapa tempat utama yang dituju untuk menyambut lebaran, dan ibu bapa juga merupakan insan yang paling berjasa dalam kehidupan.

    “Mereka telah mengorbankan seluruh hidup untuk memastikan kehidupan anak-anak sentiasa cukup dan menerima pelajaran yang sebaiknya demi masa depan anak-anak,” tegas khatib dalam khutbah Hari Raya Aidilfitri 2024, kelmarin.

    Setiap kali tibanya hari raya, ujarnya, ibu bapa adalah insan yang berlegar-legar dalam fikiran dan ingatan kita, kegembiraan pada hari raya pastinya ingin diraikan bersama insan mulia ini.

    “Inilah peluang yang ada untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, keluarga dan sanak saudara,” tegas khatib.

    Khatib semasa menyampaikan khutbah Hari Raya Aidilfitri 2024, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Antara yang hadir mendengar khutbah semasa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Manakala itu, bagi ibu bapa dan orang tua, mereka merupakan insan yang paling gembira pada hari raya, ini kerana anak-anak, cucu dan sanak saudara akan berkumpul bersama dan pastinya setiap anak mengharapkan restu dan keredaan ibu bapa masing-masing kerana keredaan ibu bapa akan mendatangkan keredaan Allah.

    Khatib seterusnya menyeru untuk mengambil peluang sementara mereka masih ada untuk terus mencurahkan bakti dan penghormatan kepada mereka.

    “Bersyukur bagi mereka yang masih memiliki ibu bapa untuk meraikan bersama-sama, ini kerana ada dalam kalangan kita yang sejak kecil langsung tidak dapat merasakan kasih sayang ibu atau bapa disebabkan ajal mereka yang lebih dahulu tiba,” tambahnya.

    Manakala bagi yang telah tiada, teruslah kita memperbanyakkan doa, semoga Allah mengampuni dosa mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba yang soleh, pemergian mereka bukan bererti tanggungjawab kita telah selesai.

    “Doa seorang anak merupakan salah satu daripada amalan untuk berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia,” jelasnya.

    Hari raya merupakan peluang untuk memperbaiki hubungan persaudaraan, dan ini kerana pasti ada kesalahan mahupun kesilapan yang telah dilakukan sama ada secara sedar atau tidak.

    Perbezaan pendapat atau perselisihan yang berlaku sesama manusia memang tidak dapat dielakkan, dan apa yang penting adalah bijak menangani setiap perbezaan tersebut dengan tenang dan bijaksana.

    Sementara itu, bagi umat Islam, walaupun berbeza pandangan kita tetap bertemu pada akidah yang sama iaitu mengesakan Allah dan mengabdikan diri kepadaNya.

    “Aidilfitri ini merupakan kesempatan yang sangat sesuai untuk memaafkan kesalahan orang dan peluang memohon kemaafan atas apa yang juga kesalahan yang telah dilakukan dan semoga dengan jernihnya hubungan akan membuka lembaran baharu kehidupan yang lebih tinggi dan saling mensyukuri antara satu dengan yang lain,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...