Wednesday, April 30, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang sertai kempen kolektif pulihara lautan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Kempen Minggu Lautan Brunei (OWB) 2025 kini membuka ruang yang lebih besar dan lebih baik untuk orang ramai, perniagaan dan organisasi untuk menyertai gerakan kolektif bagi pemuliharaan dan kelestarian lautan.

    Dengan tema Beneath the Waves: Careers & Creativity in the Deep, kempen ini mengajak semua sektor masyarakat untuk bekerjasama melindungi lautan kita, memberi inspirasi kepada generasi akan datang dan membina masa depan yang mampan.

    Tahun ini, OWB melancarkan Rangkaian Sekutu Lautan dengan empat peringkat penglibatan, iaitu Penaja, Rakan Kongsi, Kolaborator dan Penyokong untuk mencipta lebih banyak cara untuk semua orang mengambil bahagian secara bermakna.

    Sama ada untuk individu, kumpulan komuniti kecil, sekolah, agensi atau persatuan kerajaan dan syarikat besar, terdapat ruang penyertaan untuk semua orang dalam gerakan yang semakin berkembang untuk pemuliharaan lautan.

    Melalui penajaan, penganjuran bersama, perkongsian kemahiran atau penyertaan, setiap tindakan mencipta gelombang.

    Belia menyertai salah satu Program Discovery Bola Terumbu. – GAMBAR SERAHAN PONI DIVERS
    Gambar ramai bersama bola terumbu karang. – GAMBAR SERAHAN PONI DIVERS

    Menjadi penaja bermakna menyelaraskan jenama organisasi dengan matlamat kemampanan negara dan global di samping memperkasa belia dengan menyediakan peluang bermakna untuk kepimpinan, pembelajaran dan impak serta menawarkan wawasan yang kukuh melalui penjenamaan acara, liputan media yang meluas dan penglibatan masyarakat secara langsung.

    OWB juga mengalu-alukan rakan kongsi yang boleh menyumbang melalui sokongan berupa barangan. Daripada menyediakan venue, pengangkutan dan peralatan kepada tawaran perkhidmatan atau bekalan, rakan kongsi membentuk tulang belakang kritikal kempen.

    Manakala organisasi, sekolah dan individu juga boleh menyertai sebagai kolaborator.

    Dengan menganjurkan inisiatif bertemakan lautan mereka sendiri seperti kempen kebersihan, kempen pendidikan, bengkel atau aktiviti kesedaran, kolaborator boleh menyelaraskan usaha mereka dengan program rasmi OWB.

    Di samping itu, individu, pelajar dan kumpulan komuniti juga boleh memberi sokongan mereka sebagai penyokong OWB. Setiap penyokong boleh sama ada mengguna pakai bola terumbu karang yang memainkan peranan penting dalam membiayai projek penanaman karang, pembinaan terumbu dan pendidikan belia, dengan bebola terumbu bertahan sehingga 500 tahun di dalam laut.

    Tahap sokongan yang berbeza menawarkan ganjaran sepadan termasuk barang eko eksklusif, mengguna pakai batu karang dan juga peluang memiliki bola terumbu karang yang dikhaskan atas nama mereka.

    Dengan kempen selama dua bulan yang penuh dengan aktiviti yang berimpak, OWB 2025 dijangka akan mengembangkan jangkauan dan matlamatnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda