Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Peluang suarakan hak asasi kanak-kanak

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Sempena Hari Kanak-kanak Sedunia 2023, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan Forum Suara Kanak-kanak yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir merasmikan forum berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Brunei dan rakan-rakan strategik dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk badan-badan bukan kerajaan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Forum telah memperlihatkan pelajar-pelajar memainkan peranan sebagai empat orang menteri, empat orang ahli parlimen dan seorang pengerusi yang telah membincangkan dan membahaskan empat isu utama iaitu isu kesihatan, pendidikan, sosial dan persekitaran.

    Antara lain yang dibahaskan dalam isu pendidikan adalah mengenai kesihatan mental dan beban tugas guru serta peluang-peluang pekerjaan bagi guru-guru tempatan.

    Bagi isu kesihatan pula membincangkan mengenai obesiti khususnya aksesibiliti terhadap makanan yang kurang berkhasiat berbanding dengan makanan sihat dan juga bagaimana mempromosikan gaya hidup sihat.

    Isu sosial pula membincangkan penggunaan media sosial dalam isu keselamatan dan perkembangan kanak-kanak dan isu persekitaran yang membincangkan mengenai kebersihan air dan bagaimana untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan untuk sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.

    Forum dipengerusikan oleh Natasha Emeralda Leong, penuntut Tingkatan Enam Bawah, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES).

    Terdahulu itu, Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohamad Khairul Shahrul bin Haji Duahim dalam ucapan alu-aluan selaku pengerusi majlis antara lain menerangkan mengenai program yang bertemakan Penyertaan, Untuk Setiap Kanak-kanak itu.

    “Forum Suara Kanak-kanak dilaksanakan berkonsepkan seperti sesi permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara khusus bagi pelajar-pelajar sekolah termasuk kanak-kanak kelainan upaya,” jelasnya.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan merasmikan Forum Suara Kanak-kanak yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, Bandar Seri Begawan, kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara yang hadir pada forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...