SYDNEY, 1 DIS – Seorang pemandu yang sedang memandu di lebuh raya timur Australia merasa sesuatu di kakinya dan mendapati seekor ular harimau “merayap naik ke kakinya”, kata polis hari ini.
Pihak polis menemui wanita itu di tepi Lebuh Raya Monash berhampiran Melbourne, tanpa alas kaki dan dalam keadaan terkejut selepas pertemuan pagi Jumaat dengan reptilia berbahaya tersebut, menurut polis negeri Victoria.
“Wanita itu menerangkan bahawa dia sedang memandu pada kelajuan 80km/j (50 mph) di lebuh raya apabila dia merasakan sesuatu di kakinya dan melihat ke bawah untuk mendapati ular harimau itu merayap naik ke kakinya,” kata polis dalam satu kenyataan.
“Yang luar biasa, dia berjaya menepis ular itu dan mengelak dari kenderaan lain sebelum berhenti dan melompat keluar dari kereta untuk keselamatan dirinya.”
Ular harimau, yang dinamakan kerana garis-garis berwarna pada tubuhnya, adalah antara ular yang paling berbisa di dunia, menurut jabatan hidupan liar negeri itu.
Bertubuh tebal dan sepanjang kira-kira satu meter (tiga kaki), ular harimau akan bertindak balas terhadap ancaman dengan meninggikan badan dan meratakan kepala serta lehernya, kata jabatan tersebut.
Polis berkata wanita itu telah dinilai oleh paramedik bagi memastikan dia tidak digigit dan seorang penangkapular telah mengeluarkan ular “besar” tersebut dari kenderaan. – AFP