Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembendungan perlu tegas?

    Baru-baru ini saya ada terbaca satu artikel dalam akhbar Media Permata bertajuk Jangan pentingkan diri, fikirkan orang lain yang bertarikh 10 Januari.

    Menurut artikel itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menegaskan agar mereka yang disahkan positif COVID dan kurang sihat disarankan untuk membuat ujian saringan ART. Jika keputusan positif hendaklah membuat pengasingan diri dan terus berada di rumah sehingga keputusan kembali negatif, manakala bagi mereka yang kurang sihat tetapi keputusan negatif hendaklah memakai pelitup muka.

    Satu persoalan di sini, meskipun saranan ini sudah diwar-warkan di mana-mana, adakah orang ramai akan telus membuat saringan ART dan melakukan arahan kuarantin selama mereka disahkan positif?

    Apa yang saya dapat katakan, tidak mustahil ada segelintir masyarakat yang tidak akan telus melaporkan status kesihatan dan pemeriksaan ujian ART mereka kepada pihak relevan. Ini kerana semenjak negara berada di fasa endemik ada sesetengah penduduk tidak bertanggung jawab dan mementingkan diri sendiri berada di khalayak ramai dalam keadaan kurang sihat. Dalam masa yang sama, mereka beranggapan COVID ini sudah sebagai satu demam biasa dan tiada sesiapa yang tahu jika mereka mendapat keputusan ART positif jika mendiamkan perkara itu.

    Justeru, dengan perilaku segelintir masyarakat ini adakah dapat dikatakan negara kita sudah bebas daripada penularan wabak? Adakah kita masih perlu melakukan beberapa langkah untuk mencegah penularan wabak ini?

    Jika dipantau kehidupan masyarakat ketika ini dapat dikatakan rata-rata masyarakat ada yang sudah terbiasa tidak memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal juga tidak berguna lagi meskipun sudah dinyatakan beberapa varian baharu mula muncul dan kes baharu yang direkodkan baru-baru ini juga agak tinggi. Sehubungan itu, apakah cara paling jitu boleh dilakukan pihak relevan untuk membendung penularan wabak ini daripada berleluasa dan menyarankan orang ramai untuk mengikuti segala arahan yang ditetapkan? Jika hanya mewar-warkannya adakah ia satu tindakan yang berkesan?

    Pada pandangan saya, sikap manusia ini ibarat ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’.

    Diharap pihak relevan memberikan respons pertanyaan saya ini melalui sidang media yang akan datang.

    Ingin Tahu

    Bagi penulis, rata-rata masyarakat sudah terbiasa tidak memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal juga tidak berguna lagi.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda