Sunday, April 28, 2024
31.9 C
Brunei

    -

    Tech Solutions optimumkan pertanian berhampiran Laut Mati

    BAITULMAQDIS – Memandu melalui Gurun Negev di selatan Israel adalah pengalaman yang lebih menyeronokkan daripada yang awda bayangkan kerana pasir yang mendominasi kawasan di atas dan bawah bukit-bukit tidak mempunyai kejutan yang menarik: rumput unta, pokok kurma dan aprikot yang subur, dan kaktus dengan buah-buahan yang segar, menghiasi kawasan tanahkering dan menunjukkan kehidupan yang unik.

    Gurun tersebut mengelilingi bahagian pesisir pantai Laut Mati, merupakan tanah terendah yang mencapai paras laut di bumi. Perairan di danau hipersalin adalah kira-kira 10 kali lebih masin berbanding lautan biasa, menjadikannya persekitaran yang mustahil untuk didiami semua kehidupan dan aktiviti pertanian berhampiran tasik berkenaan.

    Walau bagaimanapun, di kawasan berhampiran hujung Selatan Laut Mati, terdapat bermacam jenis sayur-sayuran boleh dimakan tumbuh subur meskipun dalam kondisi yang bertentangan.

    Di rumah hijau ladang eksperimen yang dipanggil Pusat Vidor di mana para saintis kerap menjalankan penyelidikan pertanian yang inovatif, lada, tembikai, beri, bawang, terung dan tomato berwarna cerah semuanya hidup subur, mempamerkan bagaimana sayur-sayuran boleh ditanam di tanah gersang dan tanah dengan salinisasi tinggi.

    Tanah yang menyuburkan sayur-sayuran, iaitu kira-kira 50 hingga 60 cm kedalamannya, telah dipindahkan dari tempat lain, dan dengan sistem pengairan titisan dan fertigasi (pengairan dan pembajaan) – penggunaan baja atau nutrien ke dalam sistem pertanian melalui rangkaian pengairan, tumbuhan akan menghasilkan sayuran yang baik, kata Naftali Lazarovich , seorang profesor di Universiti Ben-Gurion, Israel di Negev yang pakar dalam pertanian di tanah kering.

    Sayur-sayuran rumah hijau di ladang percubaan Pusat Vidor di wilayah padang pasir selatan Israel, Arava tumbuh subur. – Xinhua
    Seorang kakitangan memeriksa sayur-sayuran rumah hijau di ladang percubaan Pusat Vidor di wilayah padang pasir selatan Israel, Arava baru-baru ini. – Xinhua
    Sayur-sayuran rumah hijau di ladang percubaan Pusat Vidor di wilayah padang pasir selatan Israel, Arava. – Xinhua
    Laut Mati di Ein Bokek, Israel. – Xinhua

    Menurut laporan media Israel, pengairan titisan menyiram 75 peratus tanaman di negara itu, manakala hanya 5 peratus ladang di seluruh dunia menggunakan teknologi itu kerana halangan teknologi dan kewangan.

    Untuk menjimatkan air dan mencapai pengurusan digital pertanian yang tepat, sejumlah besar peranti penderia digunakan di atas tanah, dengan semua data tanpa henti dimuat naik ke laman cloud, Lazarovich memberitahu sekumpulan pakar pertanian antarabangsa di dalam rumah hijau semasa mengundang mereka untuk mencuba lada hijau yang sudah masak.

    “Apabila iklim sangat melampau, kami perlu mengairi tanaman dengan cara berlainan, dan ini adalah salah satu cabaran di sini.

    “Kami menggunakan peranti penderia dalam tanah untuk menganggar kandungan air di lokasi yang berbeza, dan dengan cara ini, ia akan membantu kami menjadualkan pengairan dengan bijak,” katanya.

    Melalui alat kawalan jauh pada aplikasi telefon mudah alih dan komputer, petani sentiasa boleh memantau pertumbuhan tanaman dan membuat pelarasan tepat pada masanya, tambah Lazarovich.

    Pakar-pakar datang dari jauh di seluruh pelusuk dunia untuk menghadiri persidangan bertemakan “Tanah Kering, Gurun dan Desertifikasi” yang diadakan oleh Universiti Ben-Gurion di Negev.

    Persekitaran yang unik dan sistem ekologi di sekitar Laut Mati menyediakan sampel yang kaya untuk penyelidikan pertanian dan menarik pakar dari seluruh dunia untuk bertukar pengalaman dan mencari penyelesaian untuk mengoptimumkan pengeluaran pertanian.

    Berbanding dengan sayur-sayuran berwarna-warni dan berair yang jarang dilihat, pokok kurma, pelbagai jenis tumbuhan tahan haba di tanah kering, lebih jelas kelihatan hampir kawasan Laut Mati.

    Anehnya, penyelidik mendapati bahawa kurma yang ditanam di kawasan itu boleh menjadi lebih manis, berair, dan lebih aromatik berbanding kurma di tanah kering biasa, kata Oded Friedman, pakar penanaman pokok kurma Israel.

    Sudah pasti, kaedah berteknologi tinggi masih membawa perbezaan. Melihat lebih dekat pada pokok kurma akan terdapat banyak daripadanya tertutup dengan tiub selari dengan tanah seolah-olah ia sedang menerima rawatan akupunktur.

    Menurut Friedman, ia adalah penderia mikro yang digunakan untuk pemantauan tepat, masing-masing mengandungi dua peranti pengukur, satu untuk pemanasan dan satu lagi untuk mengukur perbezaan suhu.

    “Tanah yang masin menjadikan pengairan yang digunakan pada pokok kurma kira-kira dua kali ganda daripada jumlah biasa, dan penggunaan nitrogen dalam baja adalah kira-kira 50 peratus kurang berkesan. Bagaimanapun, kami sentiasa mencari cara untuk menjadikan hasilnya bertambah baik,” kata Friedman. – Xinhua

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...