Monday, July 1, 2024
22.3 C
Brunei

    -

    Pembersihan tumpahan minyak selesai Sabtu depan

    KUALA LUMPUR, 23 JUN – Kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan api marin (MFO) di perairan Pengerang, Johor yang bermula pagi semalam dijadual selesai sepenuhnya Sabtu depan.

    Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata fasa satu kerja-kerja pembersihan dilakukan kontraktor dilantik di kawasan terjejas melibatkan pengumpulan sisa sampah berminyak yang kini sudah mencapai 95 peratus.

    Beliau berkata fasa kedua pembersihan melibatkan penyemburan kawasan berbatu dan pembersihan batu kerikil pula sudah 20 peratus selesai.

    “Kerja-kerja pembersihan lain seperti pengumpulan tarball di permukaan pantai dan pengepungan air berminyak menggunakan absorbent boom untuk mengelakkan mengalir ke arah laut juga giat dilakukan.

    “Ia melibatkan kawasan pantai Sungai Rengit iaitu di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rengit dan Jeti Nelayan Sungai Rengit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Alam Kita (Setiawangsa) di Taman Tasik Titiwangsa di sini, hari ini. 

    Nik Nazmi berkata penemuan minyak juga dilaporkan dikesan di kawasan Pulau Cik Kamat dan kontraktor akan dihantar untuk melakukan pembersihan selepas penilaian keadaan di kawasan itu selesai.

    Beliau berkata sehingga hari ini status lokasi lain antaranya kawasan berbatu di belakang Balai Polis Sungai Rengit masih belum dibersihkan manakala pemantauan terus dilakukan di Pantai Teluk Ramunia berhampiran kawasan masjid.

    “Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menggerakkan aset untuk memantau perairan Pengerang hingga ke Abu Bakar Maritime Base dan setakat ini tiada tompokan minyak dikesan di kawasan terbabit,” katanya.

    Mengulas mengenai desakan sesetengah pihak supaya kerajaan menuntut ganti rugi kepada pihak terlibat sehingga berlakunya insiden tumpahan minyak itu, Nik Nazmi berkata kerajaan akan memperhalus tuntutan berkenaan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada. – Bernama

    Nik Nazmi menurunkan tandatangan simbolik semasa merasmikan Karnival Alam Sekitar 2024 di Taman Tasik Titiwangsa pada 23 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...